Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
HIBURAN

Pelakon Hollywood Diane Keaton meninggal dunia akibat pneumonia - Keluarga

Bernama 16/10/2025 | 10:42 MYT
Diane Keaton (foto) dikenang melalui peranan ikonik dalam Annie Hall dan The Godfather, serta membintangi filem terkenal lain seperti Reds, Father of the Bride dan Something's Gotta Give. -Gambar fail/AP
LOS ANGELES: Keluarga kepada pelakon terkenal Hollywood Diane Keaton mengesahkan bahawa mendiang meninggal dunia akibat pneumonia atau radang paru-paru, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Diane Keaton meninggal dunia pada 11 Okt pada usia 79 tahun akibat pneumonia, menurut pengesahan keluarganya yang turut berterima kasih atas sokongan orang ramai.
  • Sepanjang kerjayanya, Keaton dikenang melalui peranan ikonik dalam Annie Hall dan The Godfather, serta membintangi filem terkenal lain seperti Reds, Father of the Bride dan Something's Gotta Give.
  • Keluarga Keaton menggalakkan sumbangan kepada bank makanan atau tempat perlindungan haiwan sebagai penghormatan kepada mendiang yang dikenali sebagai penyokong komuniti gelandangan dan pencinta haiwan.


Dalam satu kenyataan kepada majalah People lewat Rabu, keluarga Keaton berkata mereka "amat berterima kasih atas ucapan kasih sayang dan sokongan luar biasa yang diterima dalam beberapa hari kebelakangan ini."

Pengumuman mengenai kematian pelakon pemenang Anugerah Oscar itu pada 11 Okt pada usia 79 tahun telah mencetuskan limpahan penghormatan daripada peminat dan tokoh Hollywood.

"Beliau amat menyayangi haiwan peliharaannya dan sentiasa teguh menyokong komuniti gelandangan. Justeru, sebarang sumbangan bagi memperingatinya kepada bank makanan tempatan atau tempat perlindungan haiwan akan menjadi penghormatan yang amat kami hargai," kata keluarga itu.

Keaton mula meraih populariti pada 1970-an melalui peranannya dalam filem arahan Woody Allen, Annie Hall, yang melayakkannya memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan melancarkan kerjaya filemnya selama beberapa dekad.

Beliau turut dikenang melalui wataknya sebagai Kay Adams Corleone, isteri kepada watak Michael Corleone lakonan Al Pacino, dalam trilogi The Godfather.

Sepanjang kerjayanya selama puluhan tahun di Hollywood, Keaton turut membintangi filem terkenal lain termasuk Reds, Father of the Bride dan Something's Gotta Give.

Dilahirkan pada 1946 di Los Angeles, Keaton membesar di Santa Ana, California, bersama tiga adik-beradiknya. Beliau menjalani latihan lakonan di New York dan membuat penampilan pertama di Broadway pada usia 22 tahun menerusi muzikal Hair.

-- BERNAMA


#Hollywood #Diane Keaton #pneumonia atau radang paru-paru #Annie Hall