HIBURAN

Pelakon Lee Seo Yi meninggal dunia

Astro Awani 02/07/2025 | 04:45 MYT
Lee Seo Yi meninggal dunia 20 Jun 2025 pada usia 43 tahun. -Foto Instagram
SEOUL: Pelakon Korea Selatan, Lee Seo Yi, dilapor meninggal dunia pada usia 43 tahun.

Ringkasan AI
  • Pelakon Korea Selatan, Lee Seo Yi, meninggal dunia pada 20 Jun 2025 pada usia 43 tahun, namun punca kematian tidak didedahkan.
  • Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali menerusi drama seperti "Cheongdam-dong Scandal" dan filem "Killing Romance", serta aktif di media sosial sehingga sebelum pemergiannya.
  • Pengebumian akan diadakan secara tertutup atas permintaan keluarga, dan peminat yang ingin mengetahui lokasi persemadian diminta menghubungi pengurus secara peribadi.

Menurut kenyataan dimuat naik pengurusnya di media sosial rasmi mendiang pada Selasa, Lee disahkan meninggal dunia pada 20 Jun lalu.
Bagaimanapun, punca kematian tidak didedahkan kepada umum.
“Seorang unnie (kakak) yang ceria, cantik, manis dan baik hati telah menyinari bintang di langit pada 20 Jun,” kata pengurusnya, Song Seo Bin, dalam kenyataan di Instagram yang turut mewakili ibu bapa mendiang.
Lee, yang dilahirkan sebagai Song Soo Yeon pada 18 April 1982, memulakan kerjaya lakonan menerusi drama sejarah MBC “Hur Jun, The Original Story” pada 2013, sebelum meraih perhatian menerusi siri SBS “Cheongdam-dong Scandal” pada 2014.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut membintangi filem-filem seperti "The King" (2017), "Killing Romance" (2023), dan drama terkini "The Divorce Insurance" yang tamat tayangan pada Mei lalu.
Selain kerjaya seni, Lee merupakan graduan dalam bidang Pengajian Czech dan Slovak dari Hankuk University of Foreign Studies, dan meneruskan pengajian pascasiswazah di Universiti Nasional Pusan.
Berita pemergian Lee mengejutkan ramai peminat dan rakan industri, memandangkan beliau masih aktif di media sosial sehingga sebelum kematiannya.
Pelakon Choi Deok Moon, yang pernah bergandingan dengannya dalam "Killing Romance" turut meluahkan rasa terkejut dan sedih atas kehilangan itu.
Upacara pengebumian akan diadakan secara tertutup atas permintaan keluarga.
#pelakon Korea Selatan #Lee Seo Yi #meninggal dunia #Cheongdam-dong Scandal #Killing Romance