Pelakon 'Parasite' Lee Sun Kyun meninggal dunia, ditemui tidak bernyawa dalam kereta

Gempak
Disember 27, 2023 03:38 MYT
Mayat Lee Sun Kyun ditemui di dalam sebuah kereta di Taman Waryong, Seoul, Korea Selatan. -Gempak
PELAKON filem "Parasite" Lee Sun Kyun ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang terletak di Taman Waryong, Seoul, Korea Selatan.
Menurut laporan media, berita itu disahkan oleh Balai Polis Seoul Seongbuk yang melaporkan bahawa mereka telah menemui seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta.
Polis bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang mengatakan suaminya telah meninggalkan rumah selepas menulis seolah-olah nota membunuh diri.
Polis kemudiannya mengesahkan bahawa lelaki tersebut adalah Lee Sun Kyun.
“Identitinya telah dikenal pasti,” kata jurucakap polis.
Pihak polis juga dikhabarkan telah menemui bukti briket arang menyala di dalam keretanya dan disyaki kematiannya berkemungkinan kerana bunuh diri.
Terdahulu, Lee Sun Kyun telah disiasat polis atas tuduhan menggunakan dadah pada Oktober lalu. -Gempak
#Lee Sun Kyun #Parasite #pelakon meninggal dunia #Taman Waryong