Pelakon veteran dibunuh anak sendiri kerana harta

Gempak
Disember 12, 2022 04:13 MYT
Veena, 74, dilapor dipukul dengan teruk menggunakan kayu besbol selepas bergaduh dengan anak lelakinya berkenaan dengan harta. -Gambar hiasan
PELAKON televisyen veteran Bollywood, Veena Kapoor dibunuh oleh anak lelakinya sendiri dalam satu pergaduhan akibat harta.
Veena, 74, dilapor dipukul dengan teruk menggunakan kayu besbol selepas bergaduh dengan anak lelakinya yang sebelum ini menetap di Amerika Syarikat.
Menurut laporan pihak berkuasa, anak lelakinya mengaku membunuh ibunya sendiri hanya disebabkan perselisihan faham melibatkan tanah bernilai RM6.4 juta.
Polis telah menahan tertuduh, Sachin Kapoor, 43, dan individu yang didakwa bersubahat dengannya, Chhotu atau nama sebenarnya Lalu Kumar Mandal, 25.
Terdahulu, kehilangan aktres itu mulai dihidu oleh pengawal keselamatan kediaman Kapoor yang bertindak memaklumkan kepada polis Juhu.
Difahamkan, selepas membunuh ibunya, Sachin telah membuang mayat Veena ke dalam sungai berhampiran Matheran di daerah Raigad, Mumbai.
Veena pernah terbabit dalam drama "Bhabhi" yang disiarkan sekitar tahun 2002 hingga 2008.
Selain itu, antara filem lain lakonan Veena ialah "Mitter Pyare Nu Haal Mureedan Da Kehna", "Dal: The Gang" dan "Bandhan Pheron Ke". -Gempak
Sumber: Times of India, The Sports Grail
#Bollywood #Veena Kapoor #Sachin Kapoor #Lalu Kumar Mandal