HIBURAN

Pelakon veteran India, Saroja Devi meninggal dunia pada usia 87 tahun

Umavathi Ramayah 14/07/2025 | 06:40 MYT
B Saroja Devi mendiang dianggap sebagai ikon sinema India Selatan dengan kerjaya luar biasa yang merentasi lebih tujuh dekad. - B. Sarojadevi
DUNIA perfileman India hari ini kehilangan seorang pelakon legenda, B Saroja Devi, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Malleswaram, Bengaluru akibat komplikasi sakit tua.


Ringkasan AI
  • Pelakon legenda India, B Saroja Devi meninggal dunia pada usia 87 tahun di Bengaluru akibat komplikasi sakit tua, meninggalkan legasi lebih 200 filem merentasi empat bahasa utama.
  • Sepanjang kerjaya lebih tujuh dekad, beliau dikenali sebagai ikon sinema India Selatan dan menerima pelbagai anugerah termasuk Padma Shri (1969), Padma Bhushan (1992) dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (2008).
  • Pemergian beliau disifatkan sebagai kehilangan besar buat dunia seni India, dengan pemimpin dan peminat merakamkan ucapan takziah serta mengenang sumbangan beliau dalam filem Tamil, Kannada, Telugu dan Hindi.


Memetik portal tempatan, India Today, mendiang tidak sedarkan diri kira-kira pukul 9 pagi, sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Dilahirkan pada 7 Januari 1938 di Bengaluru, Saroja Devi merupakan anak keempat kepada Bhairappa, seorang pegawai polis dan Rudramma, seorang suri rumah.

Suaminya, Sri Harsha, meninggal dunia pada 1986.

Penampilan terakhir mendiang di layar perak adalah menerusi filem Natasaarvabhowma pada tahun 2019.

Dikenali dengan gelaran ‘Abhinaya Saraswathi’ dan ‘Kannadathu Paingili’ mendiang dianggap sebagai ikon sinema India Selatan dengan kerjaya luar biasa yang merentasi lebih tujuh dekad.

Sepanjang hayatnya, beliau membintangi lebih 200 filem dalam empat bahasa utama iaitu Tamil, Kannada, Telugu dan Hindi, yang menjadikan beliau sebagai aktres pertama Kannada yang digelar Chaturbhasha Taare (bintang empat bahasa).

Kemunculan pertamanya di layar perak bermula seawal usia 17 tahun menerusi filem Kannada, Mahakavi Kalidasa pada tahun 1955.

Beliau kemudiannya melonjak ke arus perdana menerusi filem Tamil Nadodi Mannan (1958) arahan dan lakonan legenda M.G Ramachandran atau lebih dikenali MGR, menjadikan beliau bintang sensasi dalam industri Tamil.

Antara karya klasik yang memperkukuhkan legasi Saroja Devi dalam sinema Tamil termasuk Palum Pazhamum, Vazhkai Vazhvatharke (1964), Aalayamani (1962), Periya Idathu Penn (1963), Puthiya Paravai (1964), Panakkara Kudumbam (1964), Enga Veetu Pillai (1965) dan Anbe Vaa (1966).

Mendiang berlakon dalam lebih 20 filem bersama MGR dan turut dikenang menerusi kolaborasi bersama Sivaji Ganesan dalam filem Bhaaga Pirivinai (1959).

Dalam dunia perfileman Telugu pula, Saroja Devi bergandingan dengan bintang legenda NT Rama Rao dalam karya seperti Seetarama Kalyanam (1961), Jagadeka Veeruni Katha (1961) dan Daagudu Moothalu (1964).

Kariernya turut menjangkau ke Bollywood apabila beliau berlakon bersama aktor hebat seperti Dilip Kumar (Paigham, 1959), Rajendra Kumar (Sasural, 1961) dan Sunil Dutt (Beti Bete, 1964).

Pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam seni lakon turut dizahirkan melalui penganugerahan Padma Shri pada tahun 1969 dan Padma Bhushan (1992) oleh kerajaan India.

Pada 2008, beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Kerajaan India.

Antara filem Kannada yang terus terpahat dalam ingatan peminat termasuk Kittur Chennamma, Babruvahana, Anna Thangi, Bhakta Kanakadasa, Bale Bangaara, Naagakannike, Bettada Hoovu, dan Kasturi Nivasa.

Ketua Menteri Karnataka, Siddaramaiah turut merakamkan ucapan takziah melalui platform X.

“Berita pemergian pelakon legenda Kannada, Saroja Devi amat menyedihkan. Mendiang dikenali sebagai ‘Abhinaya Saraswathi’, membintangi hampir 200 buah filem merentasi empat bahasa utama.

“Nama Saroja Devi sinonim dengan lakonan yang anggun dan menyentuh hati dalam filem seperti Kittur Chennamma, Babruvahana, dan Anna Thangi.

“Pemergian beliau adalah kehilangan besar buat dunia seni India. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Salam takziah buat keluarga dan para peminatnya," katanya.

Sementara itu, peminat setia mendiang turut meluahkan kesedihan di media sosial.

Seorang pengguna menulis, “Satu era berakhir dengan pemergian #SarojaDevi Amma. Legenda abadi, selamanya dalam hati kami. Om Shanti.”


#B Saroja Devi #pelakon veteren India #meninggal dunia #Bollywood