ENTERTAINMENT
Pelakon veteran Noor Azizah meninggal dunia

Allahyarham Noor Azizah yang berusia 78 tahun meninggal dunia di kampung halamannya di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh, sekitar pukul 4.15 pagi.
KUALA LUMPUR: Industri perfileman tanah air kehilangan seorang lagi pelakon veteran yang disegani ramai, Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.
Astro AWANI difahamkan pelakon dengan nama sebenar Teh Rokiah, berusia 79 tahun itu, meninggal dunia di kampung halamannya di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh, sekitar pukul 4.15 pagi.
Beliau yang tinggal di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, pulang ke kampung baru-baru ini untuk menyambut Hari Raya bersama ahli keluarga dan sanak saudara.
Menurut wartawan hiburan veteran, Muzlina Abu Bakar, berita pemergian pelakon veteran itu disahkan oleh anak Allahyarham Noor Azizah iaitu Khairena, kepadanya.Muzlina yang juga rakan karib Allahyarham Noor Azizah memberitahu, seniwati itu meninggal dunia selepas mengalami kesesakan nafas.
Sepanjang kerjaya lakonanya, Allahyarham Noor Azizah pernah membintangi filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P Ramlee yang sekali gus memasyhurkan nama beliau dalam gelanggang perfileman.
Enam Jahanam diterbitkan pada sekitar 1969.
Penglibatan Allahyarham dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika beliau melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.
Semasa kunjungan itu, kejelitaan Allahyarham Noor Azizah mendapat perhatian seniman Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang menawarkannya membintangi filem ‘Dayang Senandong ‘ pada tahun 1965 sebagai pelakon tambahan.
Allahyarham Noor Azizah juga pernah ditawar berlakon dalam filem terbitan negara jiran, Indonesia sebagai pelakon utama dalam filem ‘Malin Kundang’ pada tahun 1971 bersama aktor negara itu, Rano Karno.
Bahkan, Allahyarham juga pernah memegang watak Doktor Susan Lim dalam produksi Australia drama bersiri terkenal, iaitu ”Bailey Bird’ pada 1977.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami