HIBURAN
Pelakon The Walking Dead, Kelley Mack meninggal dunia pada usia 33 tahun
Kelley Mack disahkan meninggal dunia pada 2 Ogos akibat penyakit kanser.
LOS ANGELES: Pelakon siri popular, The Walking Dead, Kelley Mack disahkan meninggal dunia pada usia 33 tahun akibat penyakit kanser.
Mack atau nama sebenarnya Kelly Klebenow, menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos lalu selepas bertarung dengan 'diffuse midline glioma' - sejenis tumor kanser yang menyerang otak dan saraf tunjang.
Berita pemergian itu dikongsi oleh adiknya menerusi akaun Instagram rasmi Mack.
“Dengan kesedihan yang amat mendalam, kami memaklumkan pemergian insan tersayang kami, Kelley. Satu cahaya terang penuh semangat kini telah beralih ke alam yang kekal, tempat yang bakal kita semua tuju jua akhirnya.
“Kelley pergi dengan tenang pada malam Sabtu, dikelilingi ibu tercinta, Kristen, dan ibu saudaranya, Karen. Kehadirannya dirasai dalam pelbagai bentuk, termasuk kelibat rama-rama yang sering muncul kepada insan yang menyayanginya. Kehilangannya akan dirasai oleh ramai, lebih dalam dari apa yang mampu diungkap dengan kata,” tulis kenyataan itu.
Mack dikenali menerusi wataknya sebagai Addy dalam musim kesembilan siri The Walking Dead.
Beberapa rakan seperjuangannya turut menzahirkan penghormatan di ruangan komen.
Pengarah siri tersebut, Michael E Satrazemis menulis: “Saya bertuah dapat berkarya bersama Kelley dalam TWD. Dia satu cahaya yang bersinar pada setiap lapisan. Salam kasih buat semua yang menyayanginya.”
Pelakon Anthony Michael Lopez turut berkongsi ucapan takziah: “Salam takziah sedalam-dalamnya. Kelley seorang insan manis dan ceria, dan saya bersyukur pernah mengenalinya. Dia berjuang dengan begitu kuat. Semoga dia dan keluarganya diberikan cahaya dan kekuatan. Berehatlah dengan tenang, Kelley.”
Pelakon Alanna Masterson pula menulis: “Satu insan yang luar biasa. Saya bangga dapat berjuang bersamanya dalam episod terakhir kami bersama.”
Selain The Walking Dead, Mack turut muncul dalam beberapa siri lain termasuk Chicago Med dan 9-1-1, serta menjadi suara latar untuk watak Gwen Stacy (lakonan asal Hailee Steinfeld) dalam filem animasi Spider-Man: Into The Spider-Verse.
Pelakon yang turut aktif dalam pelbagai iklan komersial itu bakal membuat penampilan terakhirnya dalam filem terbitan Universal berjudul Ricky, yang masih belum ditayangkan.
Mack meninggalkan ibu bapanya, Kristen dan Lindsay Klebenow; dua beradik, Kathryn dan Parker serta datuk dan neneknya, Lois dan Larry selain teman lelakinya, Logan. - Agensi