'Peluk tangan tapi ...' - Ini reaksi Sharnaz Ahmad bawa teman ke tayangan 'Polis Evo 3'

Asyraf Roslan
Mei 19, 2023 09:11 MYT
Sharnaaz Ahmad hadir ke Malam Gala Tayangan Polis Evo 3 bersama pasangannya di TGV KLCC pada Khamis. Foto: Astro/Azrul Rafie
KUALA LUMPUR: Disebalik keterujaan menonton tayangan perdana trilogi filem Polis Evo 3, pengamal media dan penonton dikejutkan dengan kemunculan pelakon, Sharnaaz Ahmad yang hadir membawa “teman istimewa” bersama.
Lebih mencuri tumpuan ramai apabila wanita tersebut merangkul tangan sasa Sharnaaz semasa berjalan di acara “red carpet”.
Menurut aktor berusia 38 tahun itu, dia dan wanita yang juga merupakan seorang pelakon, Amelia Christe masih lagi dalam fasa mengenal hati budi.
“Berpelukan tangan sahaja… tiada apa, kami masih lagi dalam fasa berkawan. Kita tak tahu, apa pun doakan mana yang terbaik,” ujar Sharnaaz.
Pada masa sama, apabila ditanya mengenai penerimaan anaknya, Jebat Jayden mengenai hubungannya itu, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata tidak adil baginya untuk menjawab bagi pihak Jebat.
Malah secara berseloroh, Sharnaaz meminta untuk media mendapatkan terus kenyataan dari anak kesayangannya itu.
“Itu kena tanya Jebat, saya tak berani nak jawab bagi pihak dia, saya lihat boleh diteruskan (hubungan).. Kita tengok sejauh mana,” tambahnya.
Sharnaaz ditemui semasa sidang media Malam Gala Polis Evo 3 di TGV KLCC pada Khamis.
Selain Sharnaaz, turut hadir barisan pelakon antaranya Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Farali Khan, Douglas Lim, dan Syafiq Kyle.
Polis Evo 3 akan menemui peminat di pawagam bermula 25 Mei 2023.
#Polis Evo 3 #Sharnaaz Ahmad #Amelia Christe