Peminat Siti Nurhaliza kesal penyokong Jamal Yunos kaitkan isu air dengan anak

Madiha Abdullah
Disember 23, 2016 03:11 MYT
Teguran dibuat Siti kepada Jamal dibalas dengan serangan berbentuk peribadi terhadapnya.
BEBERAPA hari lalu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, memuat naik satu status berhubung tindakan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang bertuala mandi ke Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
Bersama gambar Jamal yang berdiri di hadapan Bangunan SUK itu, Siti meletakkan kapsyen 'Jangan jadi macam Jamal' yang merujuk kepada perlakuan Pengerusi Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu itu yang disifatkan kurang matang.
Teguran itu bagaimanapun tidak disenangi beberapa pihak, termasuk seorang pengguna Facebook dengan nama Rafi Awg Kecik, yang dipercayai penyokong Jamal dan gerakan baju Merah, yang memuat naik status mengaitkan isu masalah air di negeri Selangor dengan isu yang lebih peribadi dan sensitif iaitu tentang anak.
Status itu kemudiannya dikongsi Jamal ke akaun Facebooknya.
Carian di akaun Facebook Rafi mendapati status itu telah tiada. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada tetapan status itu telah ditukar kepada privasi atau ia telah dipadamkan.
Jika teguran Siti kepada Jamal sebelum ini membuatkan 'living legend' berusia 37 tahun itu 'diserang' oleh penyokong Jamal, kali ini giliran peminat Siti pula mengamuk di laman sosial.
Rata-rata mereka berpendapat sindiran sedemikian tidak sepatutnya dibuat memandangkan ia membabitkan perihal takdir yang sememangnya di luar bidang kuasa seorang manusia.
Sindiran sedemikian, kata mereka, bukan hanya memberi kesan kepada Siti malah ia juga boleh membuatkan ribuan pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata, berkecil hati.
Kata peminat, tidak salah untuk pihak Jamal dan penyokong-penyokongnya untuk membalas teguran Siti, namun bukan ke tahap mempertikai takdir.
Pengurus Siti yang juga kakak iparnya, Rozi Abdul Razak, turut meluahkan rasa kesal dengan situasi ini dengan status berikut yang dimuat naik ke akaun Instagram.
#air #Datuk Seri Jamal Md Yunos #Datuk Siti Nurhaliza #Rafi Awg Kechik