HIBURAN

Pencarian terbuka penyampai baharu ERA dapat sambutan luar biasa

Kenyataan Media 03/11/2025 | 07:35 MYT
Edisi pencarian kali ini mencatatkan sambutan yang amat menggalakkan, baik secara online mahupun melalui sesi pencarian terbuka.
PENCARIAN terbuka bagi penyampai baharu ERA telah selesai di dua lokasi utama iaitu UiTM Shah Alam dan ASWARA, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha ERA mencari bakat baharu untuk mengisi ruang penyiaran radio paling popular di Malaysia.

Proses pemilihan kini memasuki fasa seterusnya di mana pihak pengurusan ERA sedang meneliti dan memilih 20 peserta terbaik sepanjang bulan ini. Peserta yang terpilih akan melalui pelbagai tugasan sehingga ke peringkat akhir pada 20 November 2025, dan hanya lima finalis akan mara ke pusingan penentuan.

Kali terakhir pencarian ini diadakan adalah pada tahun 2019, namun edisi kali ini mencatatkan sambutan yang amat menggalakkan, baik secara online mahupun melalui sesi pencarian terbuka. Ini membuktikan ERA terus kekal relevan sebagai jenama radio pilihan pendengar berusia 18 hingga 40 tahun.

Pengurus Jenama ERA Azah Sahrin berkata: "Kami sangat teruja melihat sambutan luar biasa daripada peserta di seluruh negara. Pencarian ini bukan sahaja membuka peluang kepada bakat baharu untuk bersinar, tetapi juga membuktikan bahawa ERA sentiasa berinovasi dan dekat dengan pendengar kami.

"Kami percaya lima finalis yang akan mara ke peringkat akhir adalah yang terbaik dan mampu membawa ERA ke tahap seterusnya.

“Sejak kali terakhir kami mengadakan pencarian ini pada tahun 2019, landskap media telah banyak berubah. Namun, sambutan yang kami terima kali ini sama ada melalui platform digital mahupun sesi pencarian terbuka menunjukkan bahawa minat terhadap dunia penyiaran radio masih tinggi.

"Ini adalah bukti bahawa radio bukan sahaja kekal relevan, tetapi terus menjadi medium yang dekat di hati pendengar.

“Kami di ERA komited untuk memberikan peluang kepada generasi baharu untuk mencipta nama dalam industri ini. Dengan adanya platform seperti TikTok Live untuk peringkat akhir, kami bukan sahaja meraikan bakat baharu, tetapi juga menggabungkan elemen hiburan dan interaksi digital yang menjadi trend masa kini,” katanya.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pencarian akhir penyampai baharu ERA secara TikTok Live pada 20 November 2025.



#era #pencarian penyampai ERA #UiTM #Aswara