Pendekatan dilaksana untuk kekalkan identiti berimej Filem Nasional - PFM

Persatuan Penerbit Filem Malaysia
Ogos 5, 2016 08:31 MYT
PANSHA: Demi memartabatkan bahasa kebangsaan dalam filem tempatan pada masa kini dan akan datang, kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 28, dikenakan syarat penggunaan 70 peratus Bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan.
Penganjuran anugerah Festival Filem Malaysia menyaksikan buat kali pertama pencalonan bagi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dibahagikan kepada dua iaitu bagi 'Filem Dalam Bahasa Malaysia' dan 'Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia'.
Pembahagian itu mencetuskan kontroversi apabila banyak pihak mempersoal rasional di sebalik langkah itu yang didakwa sebagai rasis dan bercanggah dengan matlamat perpaduan.
Ikuti kenyataan media Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) berkenaan kategori pencalonan Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28-2016) bagi pentaksiran filem Bahasa Malaysia dan filem bukan Bahasa Malaysia.

PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) amat memandang serius mengenai isu kekeliruan Penerbit atau Penggiat Industri yang menyertai FFM28-2016 bagi pentaksiran kategori Filem Bahasa Malaysia dan Filem Bukan Bahasa Malaysia yang telah dibangkitkan melalui Media Atas Talian disamping pandangan yang akan membawa kesan terhadap industri Filem Malaysia pada masa akan datang.

Memandangkan PFM telah diberi tanggungjawab bagi mengawal selia Penjurian FFM28-2016, Ahli Jawatankuasa PFM telah mengambil keputusan sebulat suara melantik Pn Nancie Foo sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penjurian FFM28-2016.
Sehubungan dengan itu, pihak PFM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bekerjasama mencari mekanisme yang praktikal untuk masa depan Industri Filem Negara dengan mengambil kira Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan juga bahasa lain di negara kita ini.
Satu pendekatan perlu dilaksanakan bagi mengekalkan Identiti yang berimejkan Filem Nasional berpandukan kepada Perlembagaan Negara kerana Malaysia terdiri dari berbagai bangsa, budaya, bahasa dan agama.
Demi memartabatkan bahasa kebangsaan dalam filem tempatan pada masa kini dan akan datang, kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 28, dikenakan syarat penggunaan 70 peratus Bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan.
Bagi lain-lain bahasa akan diambil kira dalam kategori Filem Terbaik Festival Malaysia ke 28 (Bukan Bahasa Malaysia).
Secara langsungnya kategori tersebut diatas akan melibatkan kategori Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.
Sekian, terima kasih.
Pansha,
Ketua Pegawai Eksekutif,
Persatuan Penerbit Filem Malaysia
5 Ogos 2016

#Festival Filem Malaysia #Filem Dalam Bahasa Malaysia #Filem Terbaik