HIBURAN
Pengasas dan pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar meninggal dunia
Pengasas dan pemain gitar kumpulan Spring, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail telah menghembuskan nafas terakhir di Miri, Sarawak. - Sinar Harian
PENGASAS dan pemain gitar kumpulan Spring, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail telah menghembuskan nafas terakhir di Miri, Sarawak, awal pagi tadi.
Ringkasan AI
- Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, pengasas dan pemain gitar kumpulan Spring, meninggal dunia di Miri, Sarawak pada awal pagi, setelah sekian lama menghidap strok dan masalah buah pinggang.
- Rakan-rakan artis dan komuniti muzik menzahirkan rasa kehilangan, termasuk Ayob Abd Majid yang berkongsi kenangan dan sumbangan persahabatan dengan arwah serta usaha program amal yang pernah dianjurkan untuknya.
- Pemergian Iskandar Spring dianggap satu kehilangan besar kepada dunia muzik tempatan, namun legasi muzik dan semangatnya akan terus dikenang.
Berita duka itu dikongsikan oleh Timbalan Presiden Music Malaysia, Ayob Abd Majid, yang juga merupakan sahabat lama Allahyarham.
“Saya dengan penuh rasa hiba dan dukacita ingin mengucapkan takziah atas pemergian sahabat lama, Tengku Raden Iskandar bin Tengku Ismail atau lebih dikenali sebagai Iskandar Spring, yang telah kembali ke rahmatullah,” ujarnya.
Iskandar bukan hanya dikenali sebagai pengasas dan pemuzik utama kumpulan Spring, malah pernah berada di bawah jagaan Sony Music ketika Ayob bertugas di syarikat rakaman berkenaan.
Hubungan mereka juga cukup rapat, bukan sekadar atas dasar kerja, tetapi penuh nilai persahabatan dan saling menghormati.
Ayob turut memaklumkan beliau mengikuti perkembangan kesihatan arwah sejak sekian lama, termasuk ketika arwah diuji dengan strok dan kegagalan buah pinggang sebelum berhijrah ke Miri, kampung halaman isterinya.
“Kali terakhir kami berhubung ialah ketika saya menyampaikan sedikit sumbangan kepada beliau.
"Suaranya tetap tenang, sabar dan penuh rasa syukur walaupun dalam ujian yang berat,” katanya lagi.
Malah katanya, Iskandar tidak pernah dilupakan oleh rakan-rakan seni.
Beberapa pihak termasuk Konsortium Irama, PJ Art Lane, Ameng Spring dan Umarul Iklim pernah berganding bahu menganjurkan program amal khas bagi membantu meringankan beban Iskandar sewaktu sedang uzur.
“Program itu bukan sekadar mengumpul dana, tetapi lambang kasih dan setia kawan dalam dunia seni tanah air.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat dunia muzik Malaysia.
"Namun legasi beliau, irama, semangat dan silaturahim akan terus dikenang.
“Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa arwah, menerima segala amal baiknya, dan menempatkan roh beliau bersama para solihin. Al-Fatihah,” kongsi Ayob. -- Sinar Harian