BINTANG rap terkenal Amerika Syarikat, 50 Cent telah memfailkan perlindungan muflis pada pagi Isnin.

Penyanyi, ahli perniagaan dan pelakon itu memaklumkan mahkamah bahawa beliau mempunyai pelbagai hutang dalam lingkungan AS$10 juta (RM38 juta) hingga AS$50 juta (RM190 juta).

Menurut laporan The Wall Street Journal, perlindungan muflis lazimnya membenarkan sesebuah syarikat menyusun semula kewangan di samping melindungi mereka daripada tuntutan pemiutang.

Pemfailan itu dilakukan 50 Cent beberapa hari selepas beliau diarahkan untuk membayar AS$5 juta (RM19 juta) terhadap seorang perempuan yang menyamannya atas satu kes video lucah.

Selain denda yang perlu dibayar sebanyak AS$5 juta, para juri sedang mempertimbangkan tuntutan lain iaitu pencerobohan privasi.

Hakim Mahkamah Agung Keadilan Manhattan, Paul Wooten telah meminta agar 50 Cent mendedahkan butiran kewangan beliau.

Peguam 50 Cent, William A Brewer III menyatakan perniagaan anak guamnya akan berjalan seperti biasa walaupun sudah memfailkan perlindungan muflis.

“Memfailkan perlindungan muflis peribadi membenarkan beliau meneruskan penglibatannya dalam pelbagai urusan perniagaan serta meneruskan kerja-kerja sebagai seorang penghibur,” ujar William dalam satu kenyataan rasmi.

Album studio pertama berjudul Get Rich or Die Tryin' menaikkan nama penghibur berusia 40 tahun ini ke persada antarabangsa pada tahun 2003. Album-albumnya terjual lebih 30 juta salinan di seluruh dunia sehingga kini.

Pemilik nama penuh Curtis James Jackson III ini kemudiannya mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan yang meliputi beberapa sektor seperti pakaian, minuman, perlombongan dan sukan tinju.

Pernah memenangi anugerah Grammy, 50 Cent turut membintangi beberapa filem popular seperti Spy, Escape Plan dan Righteous Kill.

Pada Mei lalu, Forbes menjangkakan jumlah bersih hartanya sekitar AS$155 juta (RM590 juta).