PENYANYI Aizat Amdan menafikan khabar angin mendakwa sudah berkahwin secara senyap-senyap dan mempunyai seorang anak.

Kata Aizat, 33, gambar bayi yang dimuat naik di laman Instagramnya, baru-baru ini merupakan anak saudaranya dan bukan anaknya. 

"Astaghfirullah, nauzubillah min zalik. Allahuakbar. Sebenarnya, muka budak itu memang macam muka saya.

"Budak itu yang kalian lihat dalam Instagram adalah anak kakak saya," katanya ketika ditemui wartawan Gempak, baru-baru ini. 

Aizat ditemui pada majlis berbuka puasa dan malam media Armani Entertainment Group di Hotel Hilton, di ibu negara, pada Rabu.

Sementara itu, mengulas mengenai hubungannya dengan seorang wanita bernama Elyssa Alia, Aizat memaklumkan bahawa itu teman wanitanya yang bakal dikahwini tidak lama lagi.

"Insya-Allah, ada dalam perancangan (untuk berkahwin). Dia merupakan orang yang istimewa dalam hidup saya.

"Sekarang ini, dia teman wanita sayalah senang cerita. Untuk benda-benda lain selepas ini, saya akan kongsikan kemudian," ujarnya yang sudah selesai majlis merisik pada 12 Februari lalu.

Kedua-duanya berkenalan sejak dua tahun lalu dan Elyssa kini menguruskan kerjaya seni Aizan termasuk syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Astro GEMPAK