Penyanyi cantik Sissy Iman dinobatkan sebagai Puteri Durian D24

Gempak
Mei 17, 2019 22:27 MYT
Selain Sissy (gambar), Fara Hezel, Wani Kayrie dan Raja Syahiran turut dilantik sebagai Sahabat Durian Festival.
MELIHAT karakternya yang ceria dan 'gila-gila', siapa sangka penyanyi Sissy Iman sebenarnya merupakan seorang 'hantu durian'.
Malah disebabkan ketaksubannya itu, dia kini telah diangkat sebagai Puteri Durian D24 bersempena Festival dan Anugerah Durian Bangi Golf Resort.
Menurut Sissy, dia mula 'jatuh cinta' terhadap raja buah itu apabila ayahnya mula mengajarnya menikmati durian seawal usia tiga tahun.
Menurutnya, dia juga pernah membelanjakan sejumlah wang yang banyak hanya semata-mata untuk menikmati durian kesukaannya.
"Dulu waktu masih kecil, nak beli pun masih berkira-kira, namun untuk durian, saya dan keluarga sanggup mengeluarkan wang yang lebih hanya semata-mata untuk menikmatinya," kata Sissy.
Jelasnya lagi, menu kegemaran yang berasaskan durian pula adalah tempoyak yang digaul bersama sambal belacan.
"Itu saya paling suka. Tempoyak, sambal belacan dan nasi panas-panas, settle!
"Cendol durian pun saya 'hantu', pantang dengar kalau orang sebut cendol durian memang saya redah je," katanya pada majlis sidang media Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort, semalam.
Selain Sissy, Fara Hezel, Wani Kayrie dan Raja Syahiran turut dilantik sebagai Sahabat Durian Festival.
Untuk pengetahuan anda, lebih 5,000 kilogram durian dari seluruh Malaysia akan ditawarkan di festival terbabit.
Acara ini bakal berlangsung pada 13 dan 14 Julai akan bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.
Selain dari pasar petani, festival ini juga akan dimeriahkan dengan acara kejohanan dunia durian, larian durian dan konsert raja buah.
Untuk maklumat lanjut anda boleh rujuk di laman Facebook rasmi mereka, Bangi Golf Resort Durian Festival and Awards.
#D24 #durian #Festival dan Anugerah Durian #Puteri Durian D24 #Ratu Durian #Sissy Iman