Penyanyi era 70-an Dahlan Zainuddin meninggal dunia

Astro Awani
Mei 28, 2019 14:12 MYT
Allahyarham dimasukkan ke hospital pada Ahad selepas diserang angin ahmar (strok) buat kali kedua menjelang waktu berbuka puasa.
Penghibur era 1970-an, Datuk Mohd Dahlan Zainuddin meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 9.48 malam Selasa.
Mohd Dahlan meninggalkan seorang isteri dan tiga orang cahaya mata.
Allahyarham dimasukkan ke hospital pada Ahad selepas diserang angin ahmar (strok) buat kali kedua menjelang waktu berbuka puasa.
Menurut isteri beliau, Datin Effa Rizan, pemantauan yang dilakukan doktor mendapati Dahlan diserang strok di sebelah kanan pula.
Sekitar empat tahun lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu diserang strok kali pertama mengakibatkan lumpuh sebelah kiri.
Menceritakan detik-detik kecemasan itu, Effa berkata pada lewat petang Sabtu, beliau asyik berbual dengan suaminya sebelum Dahlan tiba-tiba senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bangsar untuk dimandikan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor esok (Rabu).
#angin ahmar #Dahlan Zainuddin #Datin Effa Rizan #Hospital Selayang #Masjid Bangsar #Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara