HIBURAN

Penyanyi Sheqal meninggal dunia

Astro Awani 17/06/2025 | 05:39 MYT
Sheqal atau nama sebenarnya Shaharin Salehuddin, 60, yang terkenal dengan lagu 'Cinta Nusantara' itu telah dimasukkan ke HTJ, pada 4 Jun lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penyanyi era-90an, Sheqal meninggal dunia di usia 60 tahun akibat jangkitan kuman paru-paru pada jam 12.31 tengahari di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, pada Selasa.
Berita pemergian itu disahkan Presiden Kebajikan Artis Tanahair dan penyanyi veteran, Datuk DJ Dave ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Sheqal atau nama sebenarnya Shaharin Salehuddin, 60, yang terkenal dengan lagu Cinta Nusantara itu telah dimasukkan ke HTJ, pada 4 Jun lalu dan dilaporkan terpaksa ditidurkan sehari selepas dimasukkan ke hospital.
"Saya berada di sisi Allahyarham sewaktu dia menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi. Saya mendapat tahu kesihatan Allahyarham merosok selepas berbual dengannya dua bulan lalu ketika dia menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan kesihatannya," kata DJ Dave.
"Saya tiba di HTJ untuk melawatnya di Wad Anggerik, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sempat menjengah keadaannya. Tidak lama kemudian Allahyarham meninggal dunia," ujar DJ Dave.
"Saya mahu melawat Allahyarham lebih awal, namun, saya sendiri terpaksa menjalani pembedahan mata. Namun, saya bersyukur kerana berkesempatan melawat Allahyarham," tambahnya.
Pada 7 Jun lalu, media melaporkan anak kelahiran Pahang itu ditidurkan selepas tahap oksigennya menurun kepada 62 peratus.
Allahyarham sebelum ini berdepan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebnayak empat kali pada 2020.
Sheqal turut dilaporkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan menggunakan kerusi roda.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Normah Mohd Yusoff dan empat orang anak.
Allahyarham dikurniakan dua orang anak lelaki, Putera Ammar dan Putera Al-Kasyah dari perkahwinannya dengan penyanyi dan pelakon era-90an, Raja Ema.
Hasil perkahwinannya dengan Normah, Sheqal yang menetap bersama isterinya di Seremban, Negeri Sembilan sejak lima tahun lalu turut dikurniakan dua anak, Muhammad Fatullah Shaharim dan Ummu Hani.
"Sheqal merupakan seorang yang memang berbakat dan saya mengenalinya sebagai individu yang suka berseloroh dan nakal. Vokalnya unik dan saya percaya tiada yang dapat menandinginya," kata DJ Dave.
Menurut keluarga, Allahyarham akan disemadikan di Raub, Pahang, pada Selasa.
Raja Ema dalam satu pautan di Facebooknya berkata, dia dan anak-anak dengan seikhlas hati menghalalkan dan memaafkan semuanya.
"Moga Arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan para solihin," catat Raja Ema.
#Sheqal meninggal dunia #jangkitan kuman di paru-paru #Hospital Tuanku Jaafar #Cinta Nusantara