PENYANYI terkenal Bollywood, Krishnakumar Kunnath atau lebih dikenali sebagai KK meninggal dunia akibat sakit jantung di Kolkata pada Selasa.

KK yang berumur 53 tahun meninggal dunia apabila diserang penyakit itu selepas konsert diadakan di bandar India itu.

Berikutan itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan para peminatnya turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya.

"Lagu-lagunya mencerminkan pelbagai emosi yang menyentuh hati semua peringkat kumpulan umur. Kami akan sentiasa mengingatinya menerusi lagu-lagunya.

"Takziah kepada keluarga dan peminat," ciap Modi di Twitter seperti dilaporkan oleh AFP.

KK berasa tidak sihat semasa membuat persembahan di konsert di Kolkata, menurut Times of India dan media tempatan yang lain.

Dia kemudian dikejarkan ke sebuah hospital dari hotelnya sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan yang mana doktor menyatakan penyanyi tersebut sudah meninggal dunia, lapor media tempatan.

Dilahirkan di Delhi, penyanyi serba boleh itu menyanyi lagu dalam bahasa Hindi, Tamil, Telugu, Kannada, Malayalam, Marathi dan Bengali serta beberapa bahasa lain.

Lagu popular KK dari tahun 2000-an termasuk 'Dola Re Dola' daripada filem 'Devdas' dan 'Khuda Jaane' daripada filem 'Bachna Ae Haseeno'. - Agensi


*Berita asal di Sinar Harian