HIBURAN

Permohonan Dana STAR dibuka, perkukuh peranan artis veteran dalam kandungan kreatif tempatan

Saharudin Musthafa 28/08/2025 | 03:50 MYT
Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mempelawa syarikat penerbitan tempatan memohon Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) yang diwujudkan bagi memperkasa kandungan kreatif tempatan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mempelawa syarikat penerbitan tempatan memohon Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) yang diwujudkan bagi memperkasa kandungan kreatif tempatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, FINAS memaklumkan, dana berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta stesen penyiar swasta sebagai langkah strategik meningkatkan kadar tontonan dan merangsang pertumbuhan ekonomi industri kandungan kreatif melalui kolaborasi bersama penyiar tempatan.

Menurut FINAS, Dana STAR dibuka khusus untuk penerbitan supertelefilem berkualiti tinggi, dengan syarat sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja penerbitan terdiri daripada artis veteran.

“Inisiatif ini bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan artis veteran sekali gus memastikan kelangsungan kerjaya mereka dalam industri,” menurut kenyataan itu.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang www.finas.gov.my
atau portal Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif Negara di http://sppik.finas.my, tertakluk kepada Garis Panduan dan Peraturan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang berkuat kuasa.

Tempoh permohonan dibuka mulai Jumaat (29 Ogos) hingga 7 September depan.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Produksi FINAS melalui e-mel infodkd@finas.my







#Dana STAR #FINAS #kandungan kreatif tempatan #artis veteran