Persembahan kurang sopan, PU Syed tegur artis, penganjur majlis berbuka puasa

Madiha Abdullah
Mac 31, 2023 06:19 MYT
PU Syed anggap tindakan menjemput artis berkumpulan wanita menjayakan persembahan di hadapan pelajar sebuah pusat tahfiz, sebagai tidak wajar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pendakwah selebriti, PU Syed menegur tindakan penganjur sebuah majlis berbuka puasa, susulan pemilihan persembahan yang dibuat pada majlis itu.
Menerusi video yang dimuat naik ke akaun TikTok, PU Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, tindakan menjemput artis berkumpulan wanita, Dolla untuk menjayakan persembahan di hadapan tetamu yang turut termasuk pelajar dari sebuah pusat tahfiz, adalah tidak wajar.
"Tak malukah dengan anak-anak tahfiz ini? Tak malukah dengan Allah? Saya nampak dalam video (yang tular), anak-anak tahfiz itu sampai tertunduk, mereka pula yang rasa malu.
"Ada cara berhibur yang Islam sudah tetapkan, apa lagi dalam bulan Ramadan. Tak akan kita tidak boleh bezakan bulan Ramadan dengan bulan-bulan lain?" katanya kesal.
Beliau dalam masa yang sama meminta agar pengurusan dan ketua pusat tahfiz agar lebih selektif dalam menerima jemputan majlis berbuka puasa.
"Saya minta kepada pengasas tahfiz, jangan terima jemputan kalau terang-terang dalam tentatif majlis ada acara nyanyian dan menari kerana ia jelas bukan program yang mendatangkan manfaat kepada ummah.
"Maaf saya terpaksa tegur, kerana bagi saya ini perbuatan yang mencemarkan bulan Ramadan dan satu bentuk penghinaan kepada pelajar tahfiz yang hadir," sambungnya.
Dalam video yang tular itu, Dolla menyampaikan lagu popular mereka, Raya Raya Raya, dalam satu majlis berbuka puasa anjuran sebuah syarikat rakaman.
#Dolla #majlis berbuka puasa #akaun TikTok #PU Syed