[TERKINI] Senarai Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh PM Anwar
HIBURAN

Peserta Miss Universe Latina, jatuh dari platform tiga meter ketika cuba capai mahkota!

Gempak 22/07/2025 | 05:28 MYT
Wajah Perez jelas menunjukkan rasa kesakitan sebelum dihampiri oleh hos rancangan terbabit, Jacky Bracamontes. - Gempak
MALANG tidak berbau! Itu yang terjadi kepada peserta Miss Universe Latina, Laura Perez yang terjatuh dari ketinggian tiga meter dari pentas utama ketika cuba menjayakan salah satu cabaran untuk ke pusingan akhir.


Ringkasan AI
  • Laura Perez, peserta Miss Universe Latina, terjatuh dari platform setinggi 3 meter ketika cuba mencapai mahkota dalam cabaran dramatik di pentas akhir.
  • Tali keselamatan didakwa gagal berfungsi, menyebabkan dia jatuh dan mengalami kecederaan di hadapan penonton secara langsung.
  • Pasukan perubatan segera memberikan bantuan, dengan hos dan juri turut turun ke pentas memastikan keselamatannya diberi keutamaan.


Perez yang menjadi peserta kegemaran ramai itu menjadi individu pertama yang perlu menaiki platform setinggi tiga meter dari lantai pentas, dengan memakai tali keselamatan perlu berjalan di laluan sempit sebelum melompat ke udara untuk mencapai mahkota yang tergantung dengan gaya dramatik di tengah-tengah pentas.

Namun, nasib tidak menyebelahi Perez apabila tali keselamatan yang dipasang seakan-akan tidak berfungsi dan lompatannya tidak berjalan lancar sehingga akhirnya terjatuh dengan kuat di tengah pentas.

Kamera yang menyiarkan secara langsung majlis itu sempat merakam detik cemas apabila Perez terbaring sambil menahan kesakitan, wajahnya jelas menunjukkan rasa perit sebelum dihampiri oleh hos rancangan terbabit, Jacky Bracamontes.

“Ay, Laura, awak okay? Boleh bangun? Tolong panggil pasukan perubatan sekarang.

“Kami akan pastikan dia dirawat. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan,” kata Jacky yang kelihatan tergamam.

Bracamontes kemudian menyapa penonton; “Kita akan berhenti seketika dan kembali selepas ini."

Selepas siaran disambung, pihak produksi mengambil keputusan untuk membatalkan baki cabaran atas faktor keselamatan. Namun, sebelum episod berakhir, senarai lapan finalis didedahkan dan nama Laura Peez antara yang tersenarai.

Peminat ratu cantik kelahiran Cuba itu membanjiri media sosial dengan ucapan semangat dan doa.

"Undi besar-besaran untuk ratu kita. Semoga cepat sembuh.

"Berdoa agar dia dapat bertanding esok.

"Awak sangat kuat, Laura. Keselamatan nombor satu!” tulis beberapa warganet di media sosial.

Setakat tamat siaran, masih belum ada maklumat rasmi mengenai kecederaan Perez atau kemampuannya untuk bertanding dalam pentas akhir.

Selain Laura Perez, finalis lain yang akan merebut mahkota Miss Universe Latina ialah Osmariel, Jelly, Yamilex, Génesis, Gemmy, Andrea dan Ediris. -- Gempak









#peserta Miss Universe Latina #Laura Perez #jatuh pentas #capai mahkota