[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
ENTERTAINMENT

Polis Brazil gagalkan cubaan serangan bom di konsert Lady Gaga

Astro Awani 04/05/2025 | 21:45 MYT
Konsert Lady Gaga tetap berlangsung tanpa gangguan, dengan penyanyi itu menyampaikan persembahan bersejarah yang menarik perhatian jutaan peminat. - Foto AP
RIO DE JANEIRO: Polis Brazil berjaya menggagalkan cubaan serangan bom dirancang untuk konsert Lady Gaga di Pantai Copacabana, Rio de Janeiro, yang dihadiri lebih dua juta peminat.
Menurut pihak berkuasa, serangan itu dirancang oleh sebuah kumpulan yang mempromosikan ucapan kebencian dan radikalisasi remaja.
Mereka dipercayai merekrut peserta, termasuk golongan muda, untuk melancarkan serangan menggunakan bahan letupan buatan sendiri dan bom Molotov.
Operasi ini dijalankan oleh Polis Awam Negeri Rio de Janeiro dengan kerjasama Kementerian Kehakiman Brazil.
Pihak berkuasa telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam serangan tersebut.
Seorang lelaki yang didakwa sebagai ketua kumpulan itu ditangkap di negeri Rio Grande do Sul atas kesalahan memiliki senjata api secara haram, manakala seorang remaja di Rio de Janeiro ditahan kerana menyimpan bahan lucah kanak-kanak.
Pihak berkuasa turut menjalankan waran geledah di beberapa negeri termasuk Rio de Janeiro, Mato Grosso, Rio Grande do Sul, dan São Paulo.
Mereka mendapati kumpulan ini menggunakan simbol ekstremis dan bahasa berkod untuk menyebarkan ideologi ganas dalam kalangan remaja.
Konsert Lady Gaga tetap berlangsung tanpa gangguan, dengan penyanyi itu menyampaikan persembahan bersejarah yang menarik perhatian jutaan peminat.
Selepas konsert, Lady Gaga meluahkan rasa terharu terhadap sambutan luar biasa peminat Brazil dan tidak menyebut tentang ancaman yang berlaku.
Pihak berkuasa Brazil menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan mereka dan akan terus memantau sebarang ancaman yang berpotensi menjejaskan acara besar di negara itu.
#Lady Gaga #konsert #serangan bom #remaja