KUALA LUMPUR: Polis Evo 3 mempamerkan keunggulan apabila filem berkenaan mencatat kutipan tiket sebanyak RM16 juta selepas empat hari ditayangkan kepada umum di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

Rekod yang dilakar Polis Evo 3 itu sekali gus menjadikan filem arahan Syafiq Yusof ini sebagai filem dengan kutipan paling tinggi pada minggu pembukaan selepas pandemik, termasuk mengatasi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Untuk rekod, naskhah Mat Kilau: Kebangkitan arahan abangnya, Syamsul Yusof memungut RM12.2 juta selepas empat hari tayangan.

Kejayaan Polis Evo 3 dalam masa sama membuktikan filem tempatan masih mendapat sokongan daripada peminat dan menginginkan filem yang berkualiti.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad merakamkan penghargaan kepada seluruh peminat dan pencinta filem tempatan yang memberi sokongan pada naskhah berkenaan.

“Alhamdulillah atas kejayaan luar biasa ini dan ia membuktikan penonton kita masih mempercayai filem tempatan serta mahukan filem berkualiti.

“Jutaan terima kasih kepada semua. Sokongan padu anda menjadi nadi untuk filem Malaysia terus bernafas dan melangkah setanding naskhah luar negara.

“Terima kasih kepada rakan penerbit Skop Productions, TGV Pictures, rakan-rakan media serta pihak pawagam yang banyak membantu melakar kejayaan Polis Evo 3,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Raja Jastina berkata, sempena musim cuti persekolahan ketika ini, diharapkan lebih ramai penonton akan merebut peluang untuk menonton Polis Evo 3 di pawagam,

“Memandangkan cuti sekolah telah tiba, kami mengharapkan lebih ramai penonton dapat datang menyaksikan filem aksi komedi ini bersama seisi keluarga kerana filem ini memang sesuai untuk hiburan sekeluarga.

“Hujung minggu lalu kami telah memulakan sesi jelajah di Pantai Timur dan kehadiran kami di sana telah disambut dengan meriah oleh ribuan penonton serta peminat.

“Ada dalam kalangan penonton yang sanggup datang dari jauh seperti Kota Bahru semata-mata untuk menyaksikan filem ini di pawagam,” kata Raja Jastina sambil memaklumkan barisan pelakon Polis Evo 3 akan berkunjung ke negeri-negeri di utara tanah air pada hujung minggu ini sempena siri jelalah.

Polis Evo 3 menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Ia mengisahkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.
Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai.

Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Sebelum ini, industri filem tanah air menyaksikan edisi sulung filem Polis Evo pada tahun 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta, sementara Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah kutipan RM23 juta.



* Saksikan filem aksi terhebat tahun ini, Polis Evo 3 yang kini ditayangkan di pawagam-pawagam tanah air.

* Pastikan anda meletakkan #PolisEvo #PolisEvo3 #PE3 bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini.

* Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Polis Evo 3 di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw.