HIBURAN

Polis siasat dakwaan penyanyi Psy langgar undang-undang perubatan

Bernama 28/08/2025 | 10:18 MYT
Agensi Psy mengakui berlaku kesilapan apabila pihak ketiga mengambil ubat bagi pihaknya. - Gambar/ Reuters
SEOUL: Polis Korea Selatan sedang menyiasat penyanyi rap Psy atas dakwaan melanggar undang-undang perubatan dengan mendapatkan ubat psikotropik yang memerlukan preskripsi melalui pihak ketiga tanpa hadir sendiri ke hospital, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pegawai polis pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Polis Korea Selatan sedang menyiasat Psy atas dakwaan mendapatkan ubat psikotropik seperti Xanax dan Stilnox melalui pihak ketiga tanpa hadir ke hospital, yang melanggar undang-undang perubatan negara itu.
  • Hospital universiti di Seoul diserbu untuk mendapatkan rekod perubatan, manakala doktor Psy menafikan dakwaan dengan menyatakan rawatan diberikan secara jarak jauh.
  • Agensi Psy mengakui berlaku kesilapan apabila pihak ketiga mengambil ubat bagi pihaknya, namun menafikan preskripsi melalui proksi secara langsung.


Balai Polis Seodaemun Seoul sedang menyiasat Psy, yang nama sebenarnya Park Jae-sang dan seorang doktor hospital universiti selepas menuduh mereka atas pertuduhan menggunakan pihak ketiga, termasuk pengurus Psy, untuk mengambil ubat preskripsi tanpa rawatan bersemuka, kata pegawai itu.

Psy didakwa menerima preskripsi ubat psikotropik Xanax dan Stilnox dari sebuah hospital universiti di Seoul tanpa hadir secara bersemuka dari 2022 hingga baru-baru ini, selain membenarkan pengurusnya serta pihak ketiga lain mengambil ubat itu bagi pihaknya.

Polis dilaporkan mengesan keadaan yang mencurigakan itu melalui maklumat dan baru-baru ini menyerbu hospital universiti berkenaan untuk mendapatkan rekod perubatan berkaitan. Undang-undang semasa melarang preskripsi melalui pihak ketiga.

Xanax dan Stilnox merupakan ubat psikotropik yang digunakan untuk merawat gangguan tidur, keresahan dan kemurungan. Ubat itu diketahui mempunyai risiko kebergantungan dan ketagihan yang tinggi, jadi pemeriksaan dan preskripsi secara bersemuka adalah satu kemestian.

Bagaimanapun, doktor Psy dilaporkan menafikan dakwaan itu, dengan mendakwa rawatan diberikan secara jarak jauh.

Agensi Psy, P Nation, mengeluarkan satu kenyataan pada Khamis, menyatakan bahawa adalah satu kesilapan dan kesalahan yang jelas untuk menerima pil tidur dengan preskripsi melalui proksi.

"Psy telah didiagnosis dengan gangguan tidur kronik dan mengambil pil tidur seperti yang ditetapkan oleh doktornya," kata agensi itu. "Tetapi tiada preskripsi melalui proksi, walaupun pihak ketiga menerima ubat itu bagi pihaknya dalam beberapa kes."

-- BERNAMA



#PSY #penyanyi rap korea #undang-undang perubatan #ubat psikotropik