Prince disemadikan dalam upacara tertutup

Agensi
April 24, 2016 04:51 MYT
Upacara persemadian itu dilakukan secara peribadi dengan dihadiri kaum keluarga, rakan dan ahli muzik yang dijemput sahaja. - Foto AFP
Mayat ikon popular, Prince, yang meninggal dunia Jumaat lepas, disemadi dengan dibakar dalam satu upacara tertutup.
Upacara itu dilakukan secara peribadi dengan dihadiri kaum keluarga, rakan dan ahli muzik yang dijemput sahaja.
Pegawai Komunikasi, Anna Meacham berkata, Prince dirai oleh sekumpulan kecil mereka yang menyayangi mendiang bagi mengucapkan selamat tinggal.
Antara yang hadir termasuk ahli muzik Sheila E, Larry Graham serta adik kandung Prince, Tyka Nelson.
Punca sebenar kematian Prince masih belum diketahui di mana pihak berkuasa menjangkakan hasil bedah siasat mengambil masa sehingga sebulan.
Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan tiada kesan trauma dijumpai pada badan Prince.
Malah, penyanyi itu juga disahkan tidak membunuh diri.
Legenda pop itu meninggal dunia secara tiba-tiba dan ditemui di rumah agamnya, di Paislay Park di pinggir Minneapolis.
Terdapat laporan bahawa punca kematiannya ada kaitan dengan pengambilan ubat penahan sakit secara berlebihan.
BACA: Kematian Prince bukan kerana bunuh diri - Polis
BACA: Legenda muzik Prince meninggal dunia
Prince atau nama sebenarnya Prince Rogers Nelson meninggal dunia pada usia 57 tahun.
Mendiang menjadi sensasi di arena antarabangsa sekitar tahun 1980-an, apabila mempopularkan muzik tarian Minneapolis.
Albumnya yang berjudul Purple Rain dikeluarkan pada tahun 1984, sering digambarkan antara album paling terbaik sepanjang zaman.
#Prince #Prince semadi #Purple Rain