Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
HIBURAN

Produksi Malaysia bolot lima kemenangan dalam Anugerah Golden Horse ke-62

Bernama 23/11/2025 | 09:00 MYT
Filem Mother Bhumi, arahan Chong Keat Aun memenangi tiga anugerah utama, iaitu Lagu Asal Terbaik (Penny Dai), Sinematografi Terbaik (Liang Mingjia), dan Pelakon Wanita Terbaik. - Foto FB Teo Nie Ching
KUALA LUMPUR: Produksi Malaysia mencipta impak luar biasa pada Anugerah Golden Horse ke-62 yang berlangsung di Taiwan semalam, apabila berjaya merangkul beberapa kemenangan yang disifatkan sebagai pencapaian paling signifikan buat negara dalam festival filem berprestij itu setakat ini.


Ringkasan AI
  • Produksi Malaysia mencipta impak luar biasa pada Anugerah Golden Horse ke-62 di Taiwan dengan memenangi beberapa anugerah penting, termasuk filem Mother Bhumi dan The Waves Will Carry Us.
  • Filem Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun meraih tiga anugerah utama, termasuk Pelakon Wanita Terbaik oleh Fan Bingbing, sementara The Waves Will Carry Us memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
  • Bidang animasi Malaysia turut disenaraikan apabila Fly Studio Malaysia meraih anugerah Kesan Bunyi Terbaik, menandakan kejayaan cemerlang Malaysia dalam festival filem berprestij tersebut.


Antara pencapaiannya ialah menerusi filem Mother Bhumi, arahan Chong Keat Aun yang memenangi tiga anugerah utama, iaitu Lagu Asal Terbaik (Penny Dai), Sinematografi Terbaik (Liang Mingjia), dan Pelakon Wanita Terbaik yang diraih bintang China, Fan Bingbing.

Satu lagi hasil karya Malaysia, The Waves Will Carry Us, yang diarahkan oleh Lau Kek Huat, menambah kejayaan negara menerusi kategori Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang dimenangi oleh Chen Xuenzhen.

Bidang animasi Malaysia turut mendapat pengiktirafan apabila Fly Studio Malaysia menerusi Gao Weiqi, Zhang Kaiqi dan Lin Xianmin, meraih anugerah Kesan Bunyi Terbaik.

Anugerah yang diperkenalkan pada 1962 di Taipei itu ialah penghormatan tertinggi dalam pawagam berbahasa Cina, dengan hampir 600 penyertaan melibatkan filem cereka, dokumentari dan animasi bagi edisi tahun ini.

Dalam pada itu, Chong menerusi hantaran Facebook menyifatkan peluang untuk menghasilkan filem Mother Bhumi dan kemunculan semula Fan sebagai antara pengalaman paling bermakna dalam kerjaya beliau.

"Saya benar-benar berasa bertuah dapat menghasilkan Mother Bhumi dan menyokong kemunculan semula seorang pelakon yang memulakan babak baharu dalam kerjayanya. Tahniah kepada Fan Bingbing kerana memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dalam hantaran Facebook berkata pencapaian ini mencerminkan dedikasi pasukan filem dan television Malaysia yang terus berdiri teguh di pentas antarabangsa serta mengharumkan nama karya kreatif tempatan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan produksi Malaysia atas kejayaan itu.

"Berita baik daripada Anugerah Golden Horse ke-62! Pasukan Malaysia menang paling banyak buat kali pertama dalam sejarah! Tahniah," katanya.

-- BERNAMA








#Anugerah Golden Horse #filem Malaysia #Mother Bhumi #rangkul kemenangan