HIBURAN
Progresif dan pengertian 'ukhuwah' buat Slam dan Exists

Andai ada yang berkata mereka tidak mengenali dengan dalam lagu-lagu Slam dan Exists, maka mereka belum masuk fasa crush, jatuh cinta, patah hati, bersatu atau pergi meninggalkan yang sebenar.- Foto Exists/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Andai ada yang berkata mereka tidak mengenali dengan dalam lagu-lagu Slam dan Exists, maka mereka belum masuk fasa crush, jatuh cinta, patah hati, bersatu atau pergi meninggalkan yang sebenar.
Ringkasan AI
- Lagu Slam dan Exists menjadi lambang fasa emosi kehidupan seperti suka, cinta, kecewa dan perpisahan, menjadikan konsert mereka pengalaman jiwa yang mendalam bagi peminat.
- Konsert Slam x Exists Our Journey di Mega Star Arena berjaya menonjolkan sinergi dan persaudaraan kedua-dua kumpulan, dengan penampilan yang padat, profesional dan bebas kontroversi.
- Relevansi dan konsistensi selama lebih 30 tahun dalam industri muzik Melayu membuktikan nilai kerja keras, disiplin dan kecintaan mereka terhadap muzik, menjadi teladan untuk generasi artis baharu.
Semua datang dengan perasaan yang pelbagai, namun satu hal yang pasti semua merasai perasaan yang sama. Bangga dan puas hati melihat dua kumpulan legenda ini bersatu di atas sebuah pentas hasil kerja keras Republic Mokhmah Records selaku penganjur utama dan SS KaryaVenture.
Penyatuan mereka di atas pentas memang dinanti-nanti kerana lagu-lagu dan sinergi Slam dan Exists memang mahu ditonton di atas sebuah pentas sejak sekian lama.
Malam itu, semua menyaksikan kesatuan dan padunya mereka beraksi.
Tolak tepi soal teknikal kerana peminat tahu Slam dan Exists memang menitikberatkan elemen ini dalam semua persembahan mereka.
Apa yang jelas di ruangan mata adalah kebanggaan melihat dua kumpulan yang bertahan tanpa masalah besar dalam kumpulan yang diwar-warkan. Slam dan Exists mengikat ukhuwah (persaudaraan) mereka dengan progres perjalanan band yang bergerak tanpa flexing (slanga anak muda).
Muncul dalam pelbagai bentuk acara muzik namun satu hal yang band-band baru (atau lama) perlu belajar dari mereka adalah cara mereka mengekalkan ‘brotherhood’ atau ‘bromance’ dalam persahabatan dan perjalanan muzik.
Slam mahu pun Exists akan tampil dengan susunan muzik yang segar dan sedap untuk memastikan bahawa mereka ini kekal relevan di pentas mana pun. Ini kerja keras dan usaha yang sentiasa ada dan wajar dipuji serta diikuti untuk anak-anak muzik yang lain.
Tanpa perlu ada kontorversi cerita- siapa singkirkan siapa atau siapa pengasas siapa, Slam mahu pun Exists bergerak, bercerita dan sentiasa mengalirkan rasa jatuh cinta kepada lagu-lagu dan persahabatan mereka yang senantiasa malar segar.
Lagu Slam mahu pun Exists bergerak lebih 30 tahun, sudah beribu kali dinyanyikan, sudah acap kali diperdengarkan namun elemen malar segar itu sentiasa dibaluti dengan pembaharuan yang sedap, relevan dan terkini. Ini usaha dan kerja keras mereka yang sentiasa memperlihatkan kerja-kerja progresif mereka.
Andai ada lagi yang berkata dengan bangga – kami tidak dengar muzik Melayu, belajar dulu melihat, mendengar dan merasa semua ini melalui dua kumpulan ini. Belajar erti rajin, sabar, tekun dan disiplin melalui dua kumpulan yang diasaskan pada tahun 90-an ini dan masih kekal relevan dan diminati hingga kini.
Bukan sahaja berdiri atas nama band, setiap personel kumpulan memiliki pesona, nama dan jahitan kemasan kerja yang dibanggakan kerana skil dan teknikal mereka. Shah, Zamani, Man, Lili, Eddie dari Slam mahu pun Ezad, Along, Musa, Ajai dan Ujang dari Exists. Nama-nama ini sudah ada kontribusi personal dalam industri.
Andai kita pergi konsert untuk semata berhibur dan melayan perasaan, Slam dan Exists telah merealisasikannya.
Namun lebih dari itu, pada satu lembaran sejarah dan hamparan kebanggaan industri seni tempatan- konsert Slam x Exists Our Journey menebarkan erti persahabatan dan kecintaan yang sebenar terhadap pelbagai elemen yang sangat positif, berasaskan platform muzik.
Andai ini rasa nurkasih, ini juga rasanya….dirantai digelangi rindu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami