Pusat tahfiz terbakar: Mangsa umpama anak angkat saya - Rizalman

Madiha Abdullah
September 14, 2017 07:58 MYT
Rizalman berkongsi kisah tentang keakrabannya dengan warga pusat tahfiz berkenaan, yang pernah menjadi tempat anaknya, Umar Nail, menimba ilmu selama empat tahun. - Foto Instagram Rizalman Ibrahim
PEREKA fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim antara yang terkesan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datok Keramat, awal pagi tadi.
Menerusi satu kemas kini di akaun Instagram peribadinya, Rizalman berkongsi kisah tentang keakrabannya dengan warga pusat tahfiz berkenaan, yang pernah menjadi tempat anaknya, Umar Nail, menimba ilmu selama empat tahun.
Umar Nail, 15 tahun, kini meneruskan pengajian di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS), dua tahun lalu.
"Saya merasa amat terkesan dengan kejadian ini kerana ada di antara mereka telah menjadi sahabat Umar Nail dan telah bergelar 'anak angkat' saya.
"Saya dapat rasa kekayaan doa-doa mereka yang mereka sampaikan pada Allah, ketulusan hati mereka,-wajah-wajah suci mereka dan pengorbanan zaman remaja demi menuntut ilmu Allah melalui Al-Quran,: menurut Rizalman.
Rizalman yang pernah menjadi pereka fesyen ramai personaliti VVIP terkemuka tempatan dan antarabangsa, memberitahu portal mstar, dia tidak dapat membayangkan jika dia dan Umar menolak tawaran pengajian di STIAS.
"Jika Allah beri qada dan qadar berlainan, saya tidak dapat bayangkan apa yang terjadi kepada saya dan dia," katanya kepada portal tersebut.
Dalam pada itu, Rizalman turut meninggalkan kata-kata hikmah berikut untuk keluarga mangsa.
"Allah telah memilih anak-anak anda sebagai tetamunya di syurga, dan anda adalah yang terpilih kerana mempunyai jiwa yang kental untuk melalui dugaan ini."
BACA: Pusat tahfiz terbakar: Kerajaan negeri sedia tawarkan bantuan - MB Selangor
BACA: Pusat tahfiz terbakar: 'Ada yang menggelungsur dari saluran paip air' - Saksi
#anak #kebakaran #mangsa #Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah #Rizalman Ibrahim #sekolah #Sekolah Tinggi Islam As-Sofa #STIAS