[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
ENTERTAINMENT

Radin, Nabil & Azad kembali beraksi dalam 3Pagi ERA

Astro Awani 07/04/2025 | 02:45 MYT
Radin, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin kembali beraksi hari ini menerusi segmen 3Pagi ERA yang menjadi kegemaran pendengar dan penyokong setia stesen radio itu. - Foto Astro Audio
KUALA LUMPUR: Penyampai radio 3Pagi ERA, Radin, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin kembali beraksi hari ini selepas direhatkan selama kira-kira sebulan.
Astro Audio dalam satu kenyataan memaklumkan, 3Pagi ERA terus kekal bersama dengan trionya itu yang memiliki pengikut tersendiri menerusi segmen pagi kegemaran pendengar dan penyokong setia stesen radio itu.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, sepanjang ketiga-tiga penyampai ini direhatkan, Sharifah Shahira (Kak Rare), Haziq dan Namie menggantikan tempat mereka.
Gandingan ini, katanya, banyak membantu untuk terus menghangatkan lagi segmen 3Pagi ERA dengan kreativit mereka sendiri agar pengisian tersebut terus berinformasi dan menghiburkan pendengar.
"Kembalinya tonggak utama 3Pagi ERA, kami akan teruskan dengan pelbagai aktiviti dan program yang memberi impak positif kepada semua pihak.
"Golongan yang memerlukan bantuan juga akan kami kenal pasti untuk aktiviti kami yang seterusnya.
"Saya mewakili pengurusan ERA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pendengar setia ERA yang sentiasa memberi semangat agar kami terus bangkit serta kekal relevan dalam industri penyiaran radio.
"Sokongan anda semua amat kami hargai dan kami tidak akan sia-siakan kesetiaan anda," katanya dalam kenyataan sama.
Tambah Azah, penyampai 3Pagi ERA Nabil, Azad dan Radin akui turut teruja untuk kembali bersiaran di studio selepas mereka direhatkan.
Ujarnya, ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk merapatkan semula hubungan dengan pendengar yang tidak henti-henti menyokong kerjaya mereka.
#Astro Audio #era #3Pagi ERA #Radin #Nabil Ahmad #Azad Jasmin