KUALA LUMPUR: Saluran Astro Radio mempertahankan kedudukan sebagai pilihan utama pendengar dengan stesen-stesen terkemuka seperti ERA, Sinar dan Hitz FM kekal menguasai carta tahun ini.

Kajian Radio Audience Measurement (RAM) pertama yang dijalankan bagi tahun 2023 mendapati saluran-saluran Astro Radio mencapai 16.3 juta pendengar setiap minggu dan 76 peratus pendengar di Semenanjung Malaysia.

Jenama Astro Radio turut mengekalkan kedudukan di tempat teratas carta bagi kesemua bahasa - ERA bagi jenama Bahasa Malaysia; Hitz FM bagi Bahasa Inggeris; MY bagi jenama Bahasa Cina dan RAAGA bagi jenama Bahasa Tamil.

Bagi jenama Bahasa Malaysia, empat saluran Astro Radio mengungguli carta 10 jenama paling popular, didahului oleh stesen ERA dengan 5.6 juta pendengar.

Segmen pagi ERA yang menampilkan gandingan tiga penyampai iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin melalui 3 Pagi ERA turut mempertahankan kedudukan sebagai pilihan utama segmen pagi.

Kedudukan utama di carta jenama Bahasa Melayu itu diikuti oleh stesen Sinar di tempat kedua dengan 5.05 juta pendengar, Gegar di tempat kelima dengan 1.9 juta pendengar dan Zayan di tempat kesembilan dengan 385,000 pendengar.

Manakala bagi jenama Bahasa Inggeris, carta didahului oleh Hitz FM dengan 2.4 juta pendengar diikuti oleh Mix FM di tempat ketiga dengan lebih sejuta pendengar dan Lite FM di tempat keempat dengan 797,000 pendengar.

Carta jenama Bahasa Cina pula didahului oleh stesen MY dengan 2.8 juta pendengar dan carta jenama Bahasa Tamil diungguli Raaga dengan 1.6 juta pendengar.

Secara keseluruhannya, saluran Astro Radio menguasai 69.3 peratus pendengar Bahasa Melayu, 87.1 peratus bagi pendengar Bahasa Inggeris, 73.2 peratus pendengar Bahasa Cina dan 90.9 peratus pendengar Bahasa Tamil.