BERITA pemergian pelakon terkenal, Ashraf Sinclair bukan sahaja diratapi banyak pihak malah rakan-rakan artis turut menzahirkan perasaan sama.

Artis tanah air juga dari Indonesia sama-sama memuat naik gambar Allahyarham; tidak kurang juga yang membanjiri Instagram Ashraf dengan ucapan takziah.

Penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslaw menitipkan kata-kata semangat buat isteri Allahyarham, Bunga Citra Lestari (BCL) agar diberi kekuatan.

Dear Unge @bclsinclair turut berduka atas wafatnya belahan jiwamu @ashrafsinclair , semoga almarhum ditempatkan di surga terindah Allah SWT, kamu diberikan lautan ikhlas dan sabar seluas luasnya. Insya Allah nanti disatukan kembali di keabadian” jelas Melly.




Selain itu, beberapa rakan selebriti tampil meluahkan kesedihan menerusi ruangan komen pada foto Instagam Ashraf yang dimuat naik tiga hari lalu, antaranya pelakon Laudya Cynthia Bella.

Beliau mendoakan agar amal ibadah Allahyarham diterima Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Inalilahiwainaillaihi rojiun.. semoga amal ibadah ash di terima Allah SWT, Allah mengampuni semua dosa2 Ash.. dan dapat ditempatkan di surga Allah," tulis Bella.

Turut tidak ketinggalan beberapa artis terkenal lain seperti Luna Maya, Dian Sastrowardoyo, Cathy Sharon dan Hannah Al Rashid.

Dian mengakui dirinya sukar untuk mempercayai berita kematian tersebut dan mendoakan agar dipermudah segala urusan dan keluarga Allahyarham diberi kekuatan.

“Semoga dipermudah semua urusannya, semoga dikuatkan keluarganya. Still can't believe this is happening,” jelas Dian.

Artis tanah air juga memberikan ucapan takziah kepada suami Bunga Citra Lestari, antaranya Neelofa, Nora Danish, Yasmin Hani dan Hunny Madu.

“Innalillahiwainnailaihirojiun, may Allah grant him jannat-ul-firdos and his family patience,” menerusi komen pelakon dan pengacara, Neelofa.

Manakala seorang lagi pelakon, Yasmin Hani menyifatkan pemergian Ashraf dalam keadaan yang beruntung kerana meninggal dunia sewaktu tidur.

“Berehatlah Ash.. This is very shocking to all of us. Beruntung juga u Ash. Pergi dalam tidur,” kata Yasmin Hani.

Ramai lagi artis lain dan ribuan peminat lain yang memberikan ucapan takziah kepada Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair.

Sekatat jam 9 pagi, ruangan komen Allahyarham telah dibanjiri sehingga 13,000 komen.

Ashraf Sinclair meninggal dunia pada awal pagi Selasa akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.

Jenazahnya dilapor berada di Rumah Sakit MMC Kuningan.

BACA: Ashraf Sinclair meninggal dunia