HIBURAN

“Rasa macam baru sahaja bercerai” - Fazura belum terfikir nak cari pengganti

Gempak 21/06/2025 | 09:00 MYT
Fazura mengakui berasa tenang dan selesa dengan kehidupan sebagai ibu tunggal. - Gempak
PELAKON dan usahawan, Nur Fazura masih belum terfikir untuk mencari pengganti meskipun sudah lapan bulan bercerai dengan bekas suaminya, Fattah Amin.

Ringkasan AI
  • Nur Fazura belum terfikir untuk mencari pengganti selepas bercerai dengan Fattah Amin, menegaskan fokusnya kini adalah kepada anak dan perniagaan.
  • Fazura berasa tenang dan selesa dengan kehidupan sebagai ibu tunggal, dan menyatakan tiada lelaki yang cuba mendekatinya sejak bercerai lapan bulan lalu.
  • Perceraian Fazura dan Fattah Amin disahkan pada 7 Oktober 2024, selepas tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya.

Tak terfikir cari pengganti
Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, berkata biarpun sudah lapan bulan memegang status sebagai janda namun dia merasakan perceraian itu seperti baru berlaku.
"Saya tak pernah terlintas langsung untuk mencari pengganti. Kerana saya rasa macam terlalu cepat dan awal untuk saya cari pengganti. Saya rasa macam baru sahaja bercerai.
"Tetapi sudah tentu ada ramai peminat yang mendoakan saya. Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik untuk saya.
"Cuma seperti yang saya katakan, buat masa ini saya belum terfikir untuk mencari pengganti. Fokus saya adalah untuk anak saya, Nur Fatima dan bisnes," ujarnya.
Fazura berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan eksklusif muzik video single terbaharu Fazura bersama Ade Govinda berjudul Luar Biasa bertempat di Aurum, TRX pada Jumaat.
Lebih selesa hidup sebagai ibu tunggal
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah mana-mana lelaki yang cuba untuk mendekatinya, kata Fazura perkara itu tidak pernah berlaku.
Tambah pelakon cantik ini lagi, dia lebih selesa hidup sebagai ibu tunggal.
"Sejujurnya saya sangat gembira, tenang dan lega dengan kehidupan sekarang. Saya rasa selesa. Biarpun ramai yang bertanya nak tak mahu ke cari pengganti," kongsinya.
Untuk rekod Fazura sah bercerai talak satu dengan Fattah Amin pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 5 tahun. -- Gempak
#Nur Fazura #Fattah Amin #bercerai #kahwin lagi