KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon tersohor, Syamsul Yusof Haslam memohon kepada seluruh masyarakat agar mendoakan yang terbaik buat dia dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dalam mencari penyelesaian konflik rumah tangga mereka.

Kata Syamsul, buat masa ini, ada manisnya kalau semua pihak berlapang dada dan bersangka baik terhadap apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.

"Saya tak mahu cakap banyak sebab takut salah cakap. Apa-apa pun, doakan yang baik-baik antara saya dan Puteri Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak.

"Doakan yang terbaik kerana kadang-kadang kita tidak tahu yang terbaik untuk kita mungkin tak baik untuk kita. Allah Maha Mengetahui.

"Hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa sahaja," katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak di sini, hari ini.

Terdahulu, mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 8 Mei bagi sebutan kes tuntutan nusyuz difailkan oleh Syamsul 39, terhadap Puteri Sarah, 38.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof hadir ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.

Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah, di sini.

Bagaimanapun, Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana terikat dengan tuntutan kerja di luar negara.

"Hari ini adalah sebutan nusyuz, tetapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar negara,” jelas Syamsul.

Dalam perkembangan berkaitan, Syamsul juga berkata, dia reda dengan apa sahaja keputusan yang bakal dicapai hasil daripada keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai dia dan Puteri Sarah pada Isnin depan.

"Insya-Allah, saya cuba reda dengan apa sahaja, mudah-mudahan begitu juga dengan Puteri Sarah.

"Saya pun tidak mahu mengeluarkan kenyataan melukakan hati Puteri Sarah lagi. Harap boleh selesai dengan baik," katanya.

Selain berharap doa yang baik-baik buat dia dan Puteri Sarah, Syamsul juga dalam masa sama memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan artis lain yang turut terjerat dalam kemelut rumah tangga.

"Doakan yang terbaik bukan untuk saya sahaja, tetapi rakan-rakan artis lain sebab kita nampak ia jadi 'trend'.

"Ini bukan perkara main-main. Ini mengenai kehidupan peribadi dan tidak nampak indah yang disangka. Inilah realiti. Doakanlah kami semua. Itulah hakikat sebenar," kata pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini lagi.