[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
HIBURAN

Robbie Williams bina gelanggang padel terapung di kediaman mewah bernilai RM257 juta

Astro Awani 28/07/2025 | 03:40 MYT
Rumah mewah tepi tepi ini lengkap dengan garaj 18 kereta, lif peribadi, kolam renang gaya resort, dan bilik wain. - Foto X/@ArrajolM
MIAMI: Penyanyi terkenal Britain, Robbie Williams, merancang untuk menambah satu ciri unik di kediaman mewah terbarunya di Coral Gables, Florida - sebuah gelanggang padel terapung yang bakal menjadi yang pertama seumpamanya di Amerika Syarikat (AS).


Ringkasan AI
  • Robbie Williams membeli rumah mewah bernilai AS$60.9 juta di Florida, lengkap dengan garaj 18 kereta, kolam renang gaya resort dan bilik wain.
  • Beliau merancang membina gelanggang padel terapung di Teluk Biscayne, yang bakal menjadi gelanggang pertama seumpamanya di kediaman persendirian di Amerika Syarikat.
  • Williams berpindah dari Los Angeles ke Miami atas faktor gaya hidup dan cukai, serta merancang pengubahsuaian bernilai AS$7.6 juta termasuk pavilion tetamu dan studio rakaman.


Williams baru-baru ini membeli rumah bernilai AS$60.9 juta (RM257 juta), termasuk perabot bernilai AS$7.6 juta, yang terletak di kawasan eksklusif tepi laut, lengkap dengan garaj 18 kereta, lif peribadi, kolam renang gaya resort, dan bilik wain.

Namun, beliau tidak berhenti di situ. Bersama pembina terkenal Manny Angelo Varas, Williams merancang pengubahsuaian bernilai AS$7.6 juta termasuk pembinaan gelanggang padel yang akan terapung di atas Teluk Biscayne.

Menurut Varas, gelanggang padel tersebut akan kelihatan seperti gelanggang tenis kecil yang terapung, menjadikannya tarikan ultra-mewah yang belum pernah wujud di kediaman persendirian di AS.

Inspirasi reka bentuk ini datang daripada gelanggang terapung di Exumas, dan pembinaan sedang dirancang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Selain gelanggang padel, rumah seluas 19,380 kaki persegi itu juga akan menerima penambahan pavilion tetamu seluas 2,000 kaki persegi yang boleh digunakan sebagai studio rakaman atau ruang kerja fleksibel.

Williams dan isterinya, Ayda Field, berpindah dari Los Angeles ke Miami atas faktor gaya hidup, keselamatan dan cukai.

Sebelum ini, mereka menjual rumah di Beverly Hills kepada rapper Drake dengan harga AS$75 juta.

Dengan penambahan gelanggang padel terapung ini, Williams sekali lagi membuktikan bahawa beliau bukan sahaja ikon muzik, tetapi juga pencipta gaya hidup mewah yang luar biasa.

Rumah impian ini dijangka siap dalam tempoh kurang setahun.







#Robbie Williams #kediaman mewah #gelanggang padel terapung #Manny Angelo Varas