HIBURAN

The Rock sudah kurus, tiada lagi imej 'sado'

Gempak 02/09/2025 | 05:30 MYT
Transformasi ini dilakukan secara sihat oleh Johnson demi memenuhi tuntutan watak Mark Kerr dalam filem terbaharunya, The Smashing Machine. - Gempak
AKTOR The Rock mengejutkan peminat menerusi penampilan terkininya yang cukup berubah.


Ringkasan AI
  • Dwayne 'The Rock' Johnson mengejutkan peminat dengan penampilan baharu di Venice Film Festival selepas menurunkan berat badan daripada 136 kg kepada 108 kg.
  • Transformasi ini dilakukan secara sihat demi memenuhi tuntutan watak Mark Kerr dalam filem terbaharunya, The Smashing Machine.
  • Filem ini mengisahkan kehidupan ikon MMA Mark Kerr dan dijangka ditayangkan pada awal Oktober.


Jika sebelum ini The Rock atau nama sebenarnya, Dwayne Johnson cukup ikonik dengan tubuh tegap, penampilan terkininya membuat ramai terkejut.

Tubuh The Rock tidak lagi sasa atau berbadan 'sado'. Sebaliknya bintang berusia 53 tahun itu dilihat memiliki tubuh badan yang menarik seperti seorang atlet.

Bintang yang cukup terkenal dengan watak aksi itu tampil di Venice Film Festival 2025 dengan berat badan baharu.

Berat badan yang sebelum ini mencecah 136 kilogram berjaya melalui transformasi dengan disiplin dan keinginan yang tinggi menjadi 108 kg. The Rock telah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 27 kg dengan cara yang sihat.

Penampilan tersebut merupakan pengorbanan yang disifatkan The Rock sebagai sesuatu yang ingin dilakukan sejak lama.

“Ini adalah transformasi yang ingin saya lakukan sejak dulu,” ujar The Rock kepada The Hollywood Reporter.

Transformasi itu pun dilakukan The Rock demi memenuhi tuntutan watak filem terkininya, The Smashing Machine. The Rock membawa watak bintang dan ikon MMA, Mark Kerr.

“Saya sangat bertuah kerana memiliki karier yang membenarkan saya merealisasikan apa yang ada dalam fikiran.

“Selepas sekian lama, saya berfikir apa lagi yang boleh saya lakukan? Bagaimana dengan penampilan dan arah saya? Saya mahu melakukan hal yang lebih jauh dan saya mendapatkannya,” kata The Rock lagi.

Cukup terkenal dengan francais filem Fast & Furious, The Rock membawakan kisah kehidupan Kerr di dalam dan luar gelanggang. Filem The Smashing Machine dijangka tayang awal Oktober. -- Gempak




#The Rock #Dwayne Johnson #sado #watak dalam filem