Rocker legenda ini pemilik PhD dalam bidang astrofizik

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 29, 2019 13:40 MYT
Pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang astrofizik ini sebahagian daripada anggota kumpulan legenda Queen. - Foto: YouTube/Brian May Official
TENTUNYA ramai yang telah menonton filem biopik Bohemian Rhapsody yang mengisahkan sejarah perjalanan kumpulan legenda rock terkemuka dunia, Queen, sedikit masa lalu.
Namun di sebalik kekaguman yang dirasakan tentang kehebatan mereka untuk muncul sebagai kumpulan rock terkemuka, mungkin ramai yang tidak mengetahui cerita menarik mengenai salah seorang anggotanya.
Tahukah anda bahawa pemain gitar utama kumpulan tersebut, Brian May, sebenarnya bukanlah calang-calang orang.
Walaupun berimejkan rock, beliau sebenarnya merupakan pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang astrofizik.
Malah, ramai yang berseloroh dengan mengatakan pencapaian otak May sama panjang dengan rambutnya, kerana kelulusan akademiknya itu.
May sebelum itu telah menamatkan pengajian ijazah sarjana pada 1968, namun hanya berjaya melengkapkan impian pendidikannya sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran pada 2007 kerana kesibukannya dalam dunia muzik Queen bersama Freddie Mercury dan rakan-rakan lain.
Brian May juga pernah berkhidmat dengan badan angkasa terkemuka dunia iaitu NASA bersama ahli astrofizik lain untuk menganalisis data dari penyelidikan New Pluto New Horizons.
Itulah Brian May, seorang pemuzik rock legenda, saintis dan pengarang yang sebenarnya cukup disegani dan terpelajar, seiring dengan kemegahan namanya di persada industri muzik rock dunia.
#belajar #filem #Heavy Metal #NASA #PhD #Queen #rock