Roy Azman masih dirawat di hospital, pembedahan ditangguh

Roy pada awalnya dijadualkan menjalani prosedur pembedahan pada Sabtu, namun, terpaksa ditangguhkan selepas bacaan paras gula dalam darah beliau didapati berada pada tahap tinggi. - Gambar/ SINAR
PENYAMPAI Gen SINAR Pagi, Roy Azman, kini masih mendapatkan rawatan di hospital selepas dimasukkan ke wad akibat jangkitan pada bahagian groin yang memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.
Roy pada awalnya dijadualkan menjalani prosedur pembedahan pada Sabtu, namun, terpaksa ditangguhkan selepas bacaan paras gula dalam darah beliau didapati berada pada tahap tinggi dan belum mencapai paras selamat untuk sebarang prosedur.
Pihak hospital kini memantau tahap kesihatan beliau secara berperingkat, dengan fokus memastikan bacaan gula kembali stabil sebelum pembedahan dapat diteruskan.
Sekiranya perkembangan kesihatan beliau positif dan bacaan gula menurun seperti yang diharapkan, Roy dijangka boleh dibenarkan keluar dari hospital seawal Ahad, kata SINAR dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut disahkan tidak dapat ke udara bersama Gen SINAR Pagi pada Isnin seperti jadual asal, kerana masih memerlukan rehat mencukupi dan mematuhi arahan doktor.
Sementara itu, keluarga dan rakan-rakan terdekat beliau merakamkan penghargaan kepada para pendengar, rakan industri serta orang ramai yang tidak henti-henti mengirimkan doa dan kata-kata semangat buat beliau sejak berita mengenai keadaan kesihatannya diketahui.
Mereka turut berharap Roy Azman segera pulih sepenuhnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


