Pelakon Fahrin Ahmad akui terasa berat hati selepas terpaksa berjauhan dengan isteri, Elena Hani Eleas yang kini bertugas sebagai pramugari di Dubai.

Menurut Fahrin, semenjak mendirikan rumahtangga perasaan rindu dan berat hati untuk berpisah dengan isteri semakin bertambah kuat.

“Saya terpaksa mengaku, sebelum ini bukan kami tidak biasa berjauhan. Selalu juga berhubungan melalui Skype atau Whatsapp untuk tanya perkembangan masing-masing. Tetapi selepas berkahwin, kami berdua terkesan juga setiap kali berpisah.

“Isteri saya yang selalu mengadu rasa sedih sebab kami berdua harus berjauhan. Memang kami tidak boleh berbuat apa-apa. Saya minta dia untuk bersabar sedikit.

“Tetapi bila ada peluang bertemu, kami gunakan masa yang ada sebaik yang mungkin. Alhamdulillah tahun ini saya dan isteri sempat bersama menjalani ibadah puasa bersama walaupun hanya untuk beberapa hari sahaja,” ujar Fahrin ditemui ketika sewaktu majlis pelancaran filem Transformers: Age of Extinction versi Bahasa Melayu di saluran HBO di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Elena turut rasa teruja pertama kali menyambut bulan Ramadan bergelar isteri selepas lapan tahun hanya fokus bekerja ketika menjalani ibadah puasa.

“Saya rasa teruja kerana pertama kali berpuasa dengan suami kerana sebelum ini selama lapan tahun saya hanya berpuasa di dalam kapal terbang atau di Dubai.

“Selalunya saya hanya dapat bercuti 10 hari selepas raya dan saya tak pernah lagi dapat cuti di bulan puasa. Jadi ini pertama kali saya dapat cuti puasa dan Insya Allah berhari raya dengan suami memang pengalaman yang cukup berbeza,” jelas Elena kepada Astro Gempak.

Tambah Fahrin lagi, dia terpaksa membuat persiapan raya lebih awal kerana cuti isterinya yang terlalu singkat di bulan puasa.

“Selepas ini isteri terpaksa kembali ke Dubai untuk bertugas seperti biasa. Jadi dalam masa yang singkat ini saya dan Elena perlu berbincang untuk buat persiapan raya.

“Persiapan raya Insya Allah saya akan akan uruskan sendiri kerana Elena hanya akan balik sehari sebelum raya kalau mengikut kepada jadual cuti,” tambah Fahrin lagi.

Dalam perkembangan lain, Fahrin diberi kepercayaan menyumbangkan suara sebagai Cade Yeager menerusi filem arahan Michael Bay iaitu Transformers: Age Of Extinction.

Antara selebriti yang turut menjayakan projek alih suara filem ini termasuk Ahmad Nabil, Faizal Ismail, Sharnaaz Ahmad, Ayda Jebat, Akim Ahmad, Sch Alyahya, Elizabeth Tan dan ramai lagi. Ianya akan ditayangkan pada hari pertam,, 17 Julai ini jam 9 malam di HBO (411) dan HBO HD (431).