KUMPULAN rock legenda Search yang dianggotai oleh Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal membuat kejutan dengan mengumumkan penambahan tarikh Konsert Endemik selama dua malam.

Difahamkan, konsert tersebut kini akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun 2022 di sebuah lokasi terbaru bertaraf antarabangsa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur iaitu di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut Amy, keputusan untuk menambah satu lagi malam bertujuan untuk memberi peluang kepada semua peminat-peminat Search bukan sahaja di Malaysia malah dari seluruh rantau Asia.

“Setelah berbincang dengan penganjur Konsert Endemik, LOL Asia, kami membuat keputusan untuk menambah satu lagi malam untuk memberi peluang kepada semua peminat-peminat Search bukan sahaja di Malaysia malah dari seluruh rantau Asia.

“Pihak kami juga telah bertemu dengan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin, yang menyokong penuh penganjuran konsert ini dan keputusan untuk mengadakannya selama dua malam.

“Zepp KL mempunyai ciri-ciri sekuriti yang hebat namun untuk memastikan keselamatan penonton lebih terjaga, kami pasti inilah yang terbaik, walaupun negara kita sudah pun diisytiharkan sedang melalui fasa peralihan endemik,” katanya.

Jelas Amy lagi, Konsert Endemik pada 4 dan 5 Jun 2022 ini akan menjadi penanda aras baru bagi penganjuran konsert fasa endemik di Malaysia.

“Kami bukan sahaja merupakan band pertama membuat persembahan solo di Zepp KL, tetapi kami juga akan mempersembahkan buat pertama kali dua lagu baru dari Search iaitu Endemik I dan Endemik II, selain lagu-lagu signature Search yang menjadi kegilaan peminat-peminat kami.

“Dapatkan tiket Konsert Endemik hari ini sebelum ia habis dijual, dan jumpa anda semua di Zepp KL pada 4 dan 5 Jun ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal berkata, laman web jualan tiket Konsert Endemik mula dibuka pada jam 10 malam semalam (28 Jun 2022) dan setakat ini kesemua VIP Box telahpun berjaya dijual.

“Tiket-tiket bagi kategori Platinum, Gold, Silver dan Rock Zone juga hampir kehabisan.

"Saya percaya status Search sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia dan juga fasiliti bertaraf dunia di Zepp KL menjadi faktor utama tiket Konsert Endemik begitu laris.

“Ia adalah peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh kesemua peminat kumpulan Search terutamanya dengan line-up legenda iaitu Amy, Nasir, Hillary dan Man Kidal.

"Search sendiri telah menjanjikan konsert paling epik dan bakal melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanah air terutama scene rock n roll.

Tiket Konsert Endemik telahpun mula dijual. Layari lolasia.bigtix.io untuk maklumat lanjut berkenaan pembelian tiket.


*Artikel asal di Gempak