PELAKON Puteri Sarah Liyana menyatakan rasa syukur urusan perceraiannya dengan pengarah, Syamsul Yusof akhirnya dipermudahkan.
 
Menurut Puteri Sarah, dia tidak mahu bermusuhan dan lega segalanya selesai dengan dengan baik.

“Sambutan raya saya akan lebih gembira dan tenang. Yang penting saya tak mahu bermusuh dan berdendam. Itu sahaja. 

“Sebelum ini banyak benda tak terjawab. Sekarang ini sudah terjawab. Saya hanya mahu ketenangan. Alhamdullillah saya sudah dapat,” katanya ketika ditemui selepas prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.
 
Tambah Sarah lagi, dia tidak mempunyai masalah untuk membenarkan anak-anak bertemu Syamsul sekiranya dia memberi kerjasama.

“Anak-anak juga tiada masalah beraya dengan dia, kalau Syamsul beri kerjasama, saya pun akan beri kerjasama. Tiada apa nak bermusuhan dan bergaduh. Semua sudah selesai, demi kebaikan anak-anak.

“Saya okay sahaja, saya tak nak lebih-lebih pun. Yang penting dia pun dapat jumpa anak,” ujarnya.

Tambah Puteri Sarah, perbincangan malam semalam juga berlaku pada saat akhir. Bagaimanapun, pelakon itu tidak mahu memperincikan siapa yang hadir pada perbincangan tersebut.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini menetapkan 18 April ini untuk pengarah, Syamsul Yusof melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya pelakon, Puteri Sarah Liyana. 

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof. 

Sebelum ini, sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, senggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua. 

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Artikel asal ini diterbitka di portal Astro GEMPAK