[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
HIBURAN

'Sarat emosi, visual berkualiti' - Filem Malam Terlarang terbitan Astro Shaw raih pujian penonton

Gempak 31/10/2025 | 09:35 MYT
Malam Terlarang terbitan Astro Shaw mendapat pujian penonton kerana jalan cerita yang kuat, lakonan mantap, dan visual berkualiti tinggi, menjadikannya antara filem seram terbaik tahun ini. -Foto Gempak
FILEM seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, terus mencuri perhatian penonton tempatan selepas tayangan rasminya bermula semalam.


Ringkasan AI
  • Malam Terlarang terbitan Astro Shaw mendapat pujian penonton kerana jalan cerita yang kuat, lakonan mantap dan visual berkualiti tinggi, menjadikannya antara filem seram terbaik tahun ini.
  • Filem ini mengangkat kisah ritual puja pantai yang diharamkan, dengan mesej tentang keserakahan manusia, serta menampilkan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Sofia Jane dan Sabri Yunus.
  • Tayangan bermula 30 Okt di Malaysia dan Brunei, serta 27 Okt di Kemboja, dengan sesi bertemu peminat dijadualkan di beberapa pawagam sekitar Lembah Klang pada 1, 2, 8 dan 9 Nov.


Karya arahan Nurhanisham Muhammad atau Labu ini dipuji ramai kerana kekuatan jalan cerita, mutu lakonan, dan kualiti produksi yang dianggap antara yang terbaik tahun ini.

Menggabungkan elemen seram dan budaya mistik Nusantara, Malam Terlarang dianggap segar dan berbeza daripada kebanyakan filem seram tempatan lain.

Di media sosial, ruang komen dibanjiri dengan reaksi positif serta pujian daripada penonton.

“Semalam aku tengok Malam Terlarang, rasa puas! Jalan cerita best, bijak, jumpscare tak meleret, CGI kemas, sound pun best.

"Color grading pun cantik sedap mata memandang. Hari ni nak repeat tengok sebagai tanda support.

“Kalau nak cakap pasal filem, Malam Terlarang memang layak digelar movie sebenar. Jalan cerita padu dan visual gempak. Well done!

“Tak pandai rating, tapi memang berbaloi tonton. Lakonan semua mantap. Storyline ada kona-kona sikit tapi senang faham. Tahap seram pun cukup buat jantung berdebar,” komen beberapa netizen.

Ada juga penonton turut memuji Astro Shaw kerana berani mempertaruhkan karya yang bukan sekadar menakutkan, tetapi sarat nilai budaya dan sejarah tempatan.

“Aku bukan penggemar filem seram, tapi Malam Terlarang ni memang power. Angkat isu ritual pemujaan pantai yang dah diharamkan, lain daripada yang lain,” komen seorang lagi.

Filem Malam Terlarang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei pada 30 Oktober, selain turut menemui penonton di Kemboja lebih awal pada 27 Oktober.

Penonton juga berpeluang bertemu barisan pelakon di beberapa pawagam sekitar Lembah Klang pada 1, 2, 8 dan 9 November ini.

Malam Terlarang diinspirasikan daripada kisah sebenar ritual ‘puja pantai’ yang pernah diamalkan suatu ketika dahulu, dan membawa mesej tentang keserakahan serta akibatnya kepada manusia.

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus dan Normah Damanhuri, filem ini bukan sekadar seram, tetapi juga menyentuh nilai kekeluargaan dan sisi gelap manusia yang sanggup berbuat apa sahaja demi keinginan duniawi. -Gempak






#Malam Terlarang #Astro Shaw #Nurhanisham Muhammad #ritual puja pantai