awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
PM Anwar gesa kerajaan negeri patuhi keputusan isu rumah ibadat
Nurul Izzah tubuh Jawatankuasa Pengawasan Bebas untuk perkukuh SPRM
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

'Satu Hari Di Hari Raya', lagu raya yang sempurna

Astro Awani
Astro Awani
08/08/2013
01:00 MYT
'Satu Hari Di Hari Raya', lagu raya yang sempurna
Hari Raya Aidil Fitri adalah hari perayaan umat Islam seantero dunia bermula pada 1 hari bulan Syawal setelah berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan. Ia disambut sebulan dan kemeriahan Aidil Fitri ini adalah magika yang sungguh luar biasa. Sambutannya mengikut bentuk acuan adat dan budaya sesuatu kaum dan komuniti atau lebih besar sesebuah negara. Betapa agama Islam itu indah meresapi setiap urat nadi manusia tanpa mengenal sempadan bangsa dan negara.
Tidak terkecuali di Malaysia, banyak lagu raya menggambarkan suasana meriah hari mulia ini. Sehebat mana pun diasak arus kemodenan, keajaiban Syawal langsung sahaja mengembalikan fitrah manusia untuk kembali ke akar budaya dan agamanya. Sejauh mana pun berada apabila fajar Syawal terbit, fitrah akan terusik menikmati kesyahduannya.
Lagu-lagu raya kita menceritakan tentang keghairahan anak rantau kembali ke desa bertemu orang tua dan berkumpul bersama keluarga, kegembiraan kanak-kanak mengumpul duit raya dan bermain mercun, hidangan makanan tradisi seperti ketupat, lontong, wajik dan dodol yang dinanti-nantikan. Digambarkan juga betapa sedihnya jika hari raya tanpa ibu bapa dan keluarga, anak rantau yang tidak dapat pulang berhari raya, kehilangan kekasih dan bermacam-macam lagi. Penulis lagu raya telah menggambarkan semua ‘cara’ menyambut ritual ini. Suka mahu pun duka. Ia adalah tradisi amalan turun-temurun.
Ke semua elemen yang disebutkan tadi telah dirangkumkan dengan sempurna oleh M.Nasir di dalam lagu ‘Satu Hari di Hari Raya’. Jiwa kesenimanan M. Nasir bijak memasukkan konsep hubungan sesama Allah (Hablulminallah) dan hubungan sesama manusia (Hablulminannas), dengan gabungan tema fizikal dan spiritual dalam konteks Islam, iman dan ehsan di dalam lagu yang sudah berusia tiga puluh tahun itu.
Satu hari di Hari Raya Ku lihat cahaya bersinar indah Langit cemerlang tak terkira Tanda kuasa yang Maha Esa Memberi nikmat pada manusia
Rangkap awal lagu ini jika diluaskan pengertian ‘cahaya’ akan lebih besar maknanya kerana cahaya dan kehidupan sangat berkait-rapat. Tanpa cahaya tiadalah hayat. Cahaya juga adalah pencerahan dari sebuah kegelapan zulmat tanpa haluan menuju terang yang terarah dan berpedoman. Apabila cahaya (Nur) bersinar indah sudah pastilah langit menjadi cemerlang.
Cahaya bergerak lurus dan menyimbah rahmat meliputi alam Langit adalah kiasan yang membawa maksud darjat dan maqam tertinggi seseorang insan dalam mencari kesempurnaan, kamil-mukkamil dengan Sang Khaliq. Karunia ‘cahaya’ dari yang Maha Esa inilah ibu segala nikmat untuk segenap insan. Lihat rangkap kedua yang berbunyi:-
Satu hari di Hari Raya Ku dengar irama yang sungguh indah Ku coba mendekati padanya Kira irama itu adalah Suara pujian pada yang Esa
‘Irama’ ini bukan sekadar datangnya dari alunan suara manusia yang memuji kerana di dalam Al Quran ada menyatakan yang seluruh isi alam ini sentiasa mengalunkan puji-pujian kepada yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta. Segala makhluk alam yang berunsurkan tanah, air, api dan angin sentiasa bertasbih memulangkan kuasa kepada yang Maha Suci.
‘Ku coba mendekati padanya’ adalah sebuah perjalanan mencari dan mengenal kerana tuntutan awal agama adalah mengenal Allah (Awaluddin makrifatullah). Rangkap pertama dan kedua adalah rakaman perjalanan insan memanjat tingkat-tingkat martabat penyucian jiwa.
Satu hari di Hari Raya Aku menangis tanda gembira Aku menangis tanda ku cinta kepadaNya
Rangkap ini meluahkan perasaan syahdu insan yang gembira setelah menemui jalan menuju kekasih. Ya! Cinta adalah lambang sebuah kesucian dan keikhlasan. ‘Hari raya’ adalah manifestasi sebuah cinta setelah sekian lama mengharungi cabaran dan dugaan ( berpuasa di bulan Ramadhan adalah simbol kesabaran dalam menempuhi rintangan). Hari raya ibarat hari kelahiran semula di dalam keadaan suci bersih. Itulah rahasia ‘fitrah’ di dalam makna Aidil Fitri.
Satu hari di Hari Raya Ku lihat wajah suci ibuku Ku lihat wajah kasih ayahku Ku gembira Mungkin inilah dia kebahagiaan
Kebahagiaan yang hakiki tersimpan di dalam bait terakhir ini. Segala ‘kemeriahan’ dan ‘kisah-kisah raya’ di dalam lagu-lagu raya lain jika dikaut dan dihimpun, patinya adalah di rangkap ini. Di dalam falsafah ilmu Tasawuf, ‘ibu’ boleh juga ditafsirkan sebagai bumi kerana selain sang ibu yang mengandungkan insan sarat dengan kasih sayang di rahimnya begitulah juga ibu (bumi) ini yang memberikan rezeki dari perutnya. Ayah pula adalah ‘langit’ yang memerhati penuh kasih, menurunkan hujan dan rahmat kebaikan untuk insan.
Pertanyaan tentang ‘mungkin inilah dia kebahagiaan’ terjawab apabila perjalanan direstui, diri dicintai dan hidup dalam keadaan redha-meredhai antara insan dengan penciptanya, insan sesama insan dan insan dengan makhluk seisi buana.
Untuk saya, lagu ‘Suatu Hari di Hari Raya’ ini sama ada versi lama atau sudah disusun semula muziknya dengan tiupan seruling yang mencucuk kalbu paling dalam, adalah lagu raya yang sempurna, lengkap pengertiannya dari sudut zahir dan batin dalam merungkai makna sebenar hari raya itu sendiri. _________________________________________________
Ronasina merupakan seorang kartunis politikal dan penulis yang sering melawan arus. Tulisan ini pertama kali disiarkan di JalanTelawi.com dan diterbitkan semula dengan izin.
Topic Berkaitan
#Aidilfitri
#lagu raya
#M.Nasir
#satu hari di hari raya
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan