'Saya disuruh buka tudung, tayang bahu dan lutut' - Yuna dedah kisah zaman awal kemunculan

Gempak
Februari 2, 2020 23:16 MYT
Yuna turut memberitahu beberapa majalah fesyen tempatan ketika itu tidak mahu meletakkan wajahnya di muka hadapan. - Foto Instagram Yuna
PENYANYI popular Yuna mendedahkan dia pernah disuruh membuka hijab oleh segelintir pihak ketika dia mahu menjadi penyanyi.
Perkara itu dikongsi Yuna menerusi entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan warganet.
Menurut Yuna, dia pernah disuruh untuk membuka tudung jika mahu bernaung di bawah satu syarikat rakaman, namun penyanyi bertaraf antarabangsa ini tidak menghiraukan perkara itu.
"Saya pernah disuruh untuk membuka hijab jika saya mahu menandatangani satu label muzik ini, saya tidak mengikutinya, saya sedar betapa pentingnya menjadi diri sendiri.
"Kerap juga saya diminta berbuat demikian, ada juga yang menyuruh saya untuk mendedahkan bahu dan lutut, saya tidak menghiraukannya juga," tulis Yuna sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Yuna turut memberitahu beberapa majalah fesyen tempatan ketika itu tidak mahu meletakkan wajahnya di muka hadapan.
"Apabila saya mula-mula bergelar penyanyi dan penulis lagu di Malaysia, beberapa majalah fesyen ketika itu tidak mahu memilih saya sebagai wajah muka hadapan.
"Sekarang, banyak perkara sudah berubah, saya gembira melihat wanita seperti saya di luar sana dan masyarakat dunia juga lebih menerima wanita seperti saya hari ini," tambahnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian dari para pengikut Yuna di ruangan komen.
Rata-rata mereka meninggalkan respon positif dan memberi kata-kata semangat kepada Yuna.
Sekadar info, Yuna mulai aktif di industri hiburan tempatan pada sekitar tahun 2006 dan berjaya membina populariti hingga ke peringkat antarabangsa sehingga kini.
#buka hijab #buka tudung #dedah aurat #fesyen #hiburan #Instagram #majalah fesyen #Malaysia #penyanyi #syarikat rakaman #Yuna