HIBURAN
"Saya tidak kutuk" - Isu tiada ‘killer song’, Man Bai sudah jumpa Aina Abdul

Man Bai mengakui Aina berbakat besar tetapi pendekatan muzik yang terlalu teknikal mungkin menyukarkan penciptaan lagu ikonik. - Gempak
PENYANYI senior, Man Bai tampil memperjelaskan kenyataan yang sebelum ini mengundang reaksi pelbagai apabila menyatakan penyanyi, Aina Abdul belum memiliki lagu ‘killer song’ yang benar-benar ikonik.
Ringkasan AI
- Man Bai menjelaskan kenyataannya tentang Aina Abdul tidak memiliki 'killer song' sebagai nasihat ikhlas, bukan kritikan, dan hubungan mereka kekal baik selepas bertemu secara peribadi.
- Beliau mencadangkan Aina bekerjasama dengan komposer berpengalaman seperti M. Nasir dan Fauzi Marzuki, agar dapat menghasilkan lagu yang lebih mudah diingati dan dekat di hati masyarakat.
- Man Bai mengakui Aina berbakat besar tetapi pendekatan muzik yang terlalu teknikal mungkin menyukarkan penciptaan lagu ikonik, sambil menekankan pentingnya melodi yang mudah ditangkap untuk menjadi lagu malar segar.
“Isu pun dah habis sebenarnya. Dia pun kata dia tak ambil hati. Saya cakap okay je. Tak ada masalah. Lagipun dia kadang-kadang latihan kat studio saya,” ujarnya kepada Gempak ketika ditemui di sidang media Pesta Kuantan 188 2025 di Ramada Suites, pada Selasa.
Bukan Kutuk, Tapi Pandangan Ikhlas
Menurut Man Bai, pandangannya tentang keperluan untuk memiliki ‘killer song’ hanyalah satu nasihat ikhlas, bukan kutukan terhadap bakat Aina.
“Saya cuma cakap, dalam industri ni kita kena ada killer song. Lagu yang betul-betul kuat, yang orang akan ingat sampai 30 tahun.
“Kadang-kadang kita rasa lagu kita sedap, tapi sedap tu mungkin untuk segelintir orang je. Belum tentu boleh jadi lagu yang semua bangsa suka dan jadi evergreen,” kongsinya.
Man Bai turut mencadangkan agar Aina cuba untuk bekerjasama dengan komposer lama dan berpengalaman seperti Datuk M Nasir, Fauzi Marzuki dan Manan Ngah bagi mencipta lagu yang lebih melekat di hati pendengar.
“Lagu macam Teringin nyanyian Shima, Diriku Terbelenggu nyanyian Francissca Peter, atau Sejarah Mungkin Berulang daripada Tomok, semua ni contoh killer song.” katanya.
Tambah pelantun lagu Kau Ilhamku itu, Aina merupakan penyanyi berbakat besar, namun pendekatan muzik yang terlalu teknikal mungkin menjadi kekangan untuk mencipta lagu yang benar-benar dekat dengan masyarakat.
“Dia penyanyi yang bagus. Cuma mungkin gaya nyanyian sekarang lebih kepada teknik tinggi-tinggi. Tapi sebenarnya lagu yang lekat di hati orang ramai ialah lagu dengan melodi yang mudah ditangkap,” katanya lagi.
Terdahulu, Man Bai mencetuskan perbincangan hangat selepas menyatakan bahawa meskipun Aina Abdul memiliki kemampuan vokal yang luar biasa, penyanyi itu masih belum memiliki lagu yang benar-benar ikonik untuk dikenang sepanjang zaman. -- Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami