SEDUTAN atau teaser trailer pertama filem drama biografi Steve Jobs baru sahaja dikeluarkan.

Ia menunjukkan wajah Michael Fassbender memainkan watak bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Apple yang meninggal dunia pada 2011.

Filem terbaru ini menjanjikan penceritaan mengenai kehidupan Jobs yang lebih baik berbanding filem biografi pertama Jobs lakonan Ashton Kutcher yang dikeluarkan pada 2013.

Trailer tersebut turut menyaksikan pemenang Oscar, Kate Winslet dan juga Seth Rogen yang memainkan watak pengasas bersama Apple, Steve Wozniak.



Filem bertajuk Steve Jobs diarahkan Danny Boyle yang turut mengarah filem Slumdog Millionaire yang memenangi lapan anugerah Oscar termasuk pengarah terbaik dan filem terbaik.

Jobs merupakan seorang usahawan dan pencipta yang mencetuskan revolusi komputer peribadi yang amat berpengaruh.

Beliau meninggal dunia pada 5 Oktober 2011 akibat komplikasi pernafasan yang ada kaitan dengan tumor neuroendokrin pankreas yang dialami sejak 2003.

Walaupun menjalani pemindahan hati pada 2009, tahap kesihatannya terus merosot sebelum terpaksa berehat panjang dan melepaskan jawatan CEO pada Ogos 2011.

Filem Steve Jobs akan ditayangkan pada Oktober tahun ini.