MINAT kepada dunia hiburan membuatkan ramai menjadikan artis-artis ini sebagai idola. Apatah lagi jika artis itu memiliki aura positif, berpenampilan sopan dan mampu menjadi idola. Maka tak hairanlah Mira Filzah yang berpenampilan sopan mampu mengumpul 7.3 juta pengikut di instagramnya.

Kelahiran anak sulungnya Wan Khair Emir yang kini berusia 3 bulan hasil perkahwinan bersama Wan Emir Astar semakin menambah keterujaan pengikut untuk menatap anak comel kesayangannya itu.

Walau belum menunjukkan secara jelas wajah Wan Khair namun tiada istilah sipi-sipi dilakukan oleh Mira Filzah sebaliknya dalam perkongsian di instagramnya, tiada tanda emoji diberikan terhadap wajah Wan Khair. Cuma anaknya didukung mendakap ke arahnya.

Dalam pada itu, dalam satu temuramah dengan Harian Metro, Mira berkata dia akan berkongsikan wajah anaknya itu apabila tiba masanya nanti. Ujarnya, tiada sebab untuk sorok wajah anaknya kerana orang pasti akan melihat jika mereka berada di luar.

“Kenapa nak sorok? Kalau kita keluar rumah nanti, orang tetap akan nampak,” katanya.

Menurut Mira lagi, dia tidak menyangka akaun Instagram yang dibuat untuk anaknya kini sudah mencecah 51,000 pengikut meskipun hanya ada sekeping gambar sahaja.

“Buat masa ini, akaun itu tidak aktif pun dan cuma ada sekeping gambar. Saya saja buat dulu sebelum ada orang lain menggunakan nama Wan Khair Amir.

“Insya-Allah apabila ada gambar bayi kami yang sesuai, kami kongsikan di situ. Saya tidak ada masalah untuk tunjuk wajah anak tetapi sebelum buat sebarang keputusan saya perlu berbincang dengan suami. Kalau sudah tiba waktu yang sesuai, kami akan paparkan wajahnya di Instagram,” katanya yang mendirikan rumahtangga pada 2020 lalu. - Mingguan Wanita