LOS ANGELES: Pelakon Gal Gadot dilaporkan bakal kembali ke set penggambaran filem The Fast and the Furious (Fast X) yang bakal ditayangkan pada 2023.

Memetik laporan The Direct, selepas 10 tahun membintangi Fast & Furious 6 yang ditayangkan pada 2013, model berusia 37 tahun itu itu dijangka membuat kemunculan semula.

Terdahulu, Gal Gadot membawa watak Gisele Yashar dalam francais Fast & Furious pada 2009, Fast Five (2011) dan Fast & Furious 6 (2013).

Awalnya, Gal Gadot sepatutnya muncul dalam Furious 7 menerusi adegan imbas semula bersama pelakon Sung Ho Kang yang membawa watak Han Lue. Namun, adegan berkenaan dikeluarkan dari filem.

Dalam masa sama, pasangan Gadot dalam filem superhero Justice League, Jason Momoa juga disahkan bakal membintangi Fast X.

Laporan mengenai kepulangan Gal Gadot dalam Fast X muncul ketika khabar angin beredar mengenai pembatalan filem Wonder Woman 3 di bawah pimpinan James Gunn dan Peter Safran selaku pengerusi bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif DC Studios.

Walaupun tiada berita terkini mengenai pembatalan filem Wonder Woman 3, James Gunn menafikan menyingkirkan Gal Gadot.

"Saya tidak pasti dari mana anda mendengar khabar angin bahawa kami akan ‘melepaskan’ Gal," jawab Gunn ringkas.

Sementara itu, di tengah-tengah ketidakpastian mengenai filem Wonder Woman 3, Fast X dijadualkan ditayangkan di pawagam pada 19 Mei 2023.