Seniman negara, Jins Shamsuddin selamat dikebumikan

Astro Awani
Mac 2, 2017 06:24 MYT
Jenazah Allahyarham dimandikan di kediamannya di Kg Pasir, Ulu Kelang sebelum disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan dan dikebumikan. - Gambar Astro Gempak
Jenazah seniman negara, Tan Sri Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Kelang kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Jenazah allahyarham sebelum itu dimandi, dikafan dan disolatkan dua kali, di rumahnya di Kampung Pasir dan kemudian di Masjid Al-Ridhuan Ulu Kelang.
Majlis pengkebumian allahyarham dihadiri lebih dari 300 ahli keluarga, sahabat handai, teman seperjuangan dan jiran tetangga.
BACA: Kecekalan Jins Shamsuddin mencari ilmu, satu penanda aras buat anak seni
BACA: 12 fakta anda perlu tahu mengenai seniman legenda, Jins Shamsuddin
BACA: Isteri teringat hidangan terakhir Jins Shamsuddin
Antara orang kenamaan yang sempat memberi penghormatan terakhir adalah penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.
Rakan seni yang hadir memberikan penghormatan antaranya Datuk Yusuf Haslam, Datuk Ahmad Nawab, Datuk M Nasir dan Datuk DJ Dave.
Jins Shamsuddin meninggal dunia petang semalam pada usia 82 tahun kerana sesak nafas.
Allahyarham meninggalkan balu, Puan Sri Halijah Abdullah dan tiga anak iaitu Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.
Sebelum itu, kesihatannya merosot sejak menghidap alzheimer pada 2011.
Terkenal sebagai 'James Bond Malaya', Allahyarham membintangi lebih daripada 40 filem dan turut mengarah sembilan filem sepanjang hidupnya.
Juga satu-satunya anak seni yang dilantik menjadi senator, allahyarham mewakili golongan itu di Dewan Negara sepanjang dua penggal dari 13 oktober 2004 hingga 11 Februari 2011.
#Jins Shamsuddin #kebumi #legenda