KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah mewakili rakan-rakan industri meluangkan masa menziarahi pusara pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih popular dengan nama Benjy di Indonesia, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Hafiz memaklumkan urusan ziarah itu mendapat kerjasama Pejabat Konsulat General Malaysia di Medan.

"Seniman ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Konsulat General Malaysia di Medan, Konsulat serta pegawai-pegawai Konsulat yang memudahkan urusan saya di Medan untuk rangka ziarah rasmi Seniman ke kubur Allahyarham Benjy," katanya.

Hafiz (kanan) memaklumkan urusan ziarah itu mendapat kerjasama Pejabat Konsulat General Malaysia di Medan. - Foto Seniman

Dalam lawatan yang sama, beliau juga dijemput menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia serta sambutan Aidilfitri Konsulat Malaysia di Medan.

Benjy menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 11 Julai 2021 di Rumah Sakit Royal Prima Medan setelah mengadu sesak nafas.

Ketika itu, Allahyarham sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun 8 bulan di Penjara Tanjung Gusta Medan setelah ditahan di Lapangan Terbang Kuala Namu pada April 2017.