Serik 'dibuli' netizen, Shila Amzah tinggalkan Twitter

Madiha Abdullah
November 21, 2017 09:10 MYT
Shila berkata dia tidak faham mengapa netizen begitu sinis terhadap setiap status yang dimuat naik, khususnya di akaun Twitter. -Instagram Shila Amzah
PENYANYI Shila Amzah mengaku terkesan dengan kritikan yang dilemparkan netizen terhadap dirinya, terutama dalam isu terbaharu berkaitan dengan loghat (accent) bahasa Inggerisnya.
Dalam satu kemas kini status di Instagram, Shila berkata dia tidak faham mengapa netizen begitu sinis terhadap setiap status yang dimuat naik, khususnya di akaun Twitter.
Atas sebab itu, penyanyi yang berjaya menempa nama di China itu membuat keputusan untuk tidak lagi mengemas kini akaun Twitternya.
"Saya cuba menjadi diri sendiri tetapi saya menjadi mangsa buli siber sejak tujuh tahun lalu.
"Ia seolah-olah cerita yang tidak berkesudahan," tulis Shila.
Tambah Shila, dia sudah berhadapan dengan situasi dibuli sejak kecil lagi hanya kerana dia anak kepada ND Lala.
Tidak cukup dengan itu, impiannya untuk menjadi penyanyi juga sering dicemuh.
"Saya tidak ke sekolah antarabangsa, latar belakang keluarga juga tidak menggunakan bahasa Inggeris. Malah pendidikan saya juga setakat SPM sahaja.
"Tetapi itu tidak bermakna saya tidak matang. Saya belajar perkara baru setiap hari dan saya mahu menjadi orang yang lebih baik.
"Jika anda berpelajaran tinggi, ia bukan alasan untuk memandang rendah orang lain. Sebaliknya, cara anda melayan orang lain akan menentukan sama ada anda seorang yang baik atau sebaliknya," tulisnya.
Beberapa hari lalu, sebuah video yang memaparkan Shila bercakap bahasa Inggeris dengan loghat British mendapat kecaman netizen yang beranggapan ia sengaja dibuat-buat.
#bahasa Inggeris #British #pendidikan #Shila Amzah #Twitter